redzuan.muharam@hmetro.com.my
Seremban: “Apa saya kongsikan itu bukan sekadar wayang atau ‘content’ tapi realiti sebenar dan harapnya perkongsian berkenaan dapat jentik hati orang lain untuk turut sama membantu yang memerlukan,” kata Datuk Ahmad Faez Abdul Razak.
Ahmad Faez, 41, bukan wakil rakyat atau Yang Berhormat (YB) namun aktif menyantuni dan membantu penduduk di sekitar Labu, Negeri Sembilan.
Ia dapat dilihat menerusi perkongsiannya di akaun TikTok Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu.
Bercerita lanjut, Ahmad Faez yang juga penyelaras DUN Labu berkata, dia mula aktif di TikTok sejak November 2023 kerana melihat manfaat dan pengaruh meluas platform berkenaan terutama dalam menyebarkan kebaikan.
“Ikutkan saya memang aktif turun padang dan suka dengan aktiviti kemasyarakatan.
“Salah satunya ziarah atau bertandang khususnya ke rumah masyarakat setempat selain menyampaikan bantuan kepada yang ada sakit kronik, kurang berkemampuan juga warga emas berusia 70 tahun ke atas.
“Cuma sejak tiga tahun lalu, saya kongsikan akvititi dengan memuat naik video di TikTok…niatnya bukan nak menunjuk cuma beri kesedaran untuk bersyukur kerana ramai lagi hidup kurang bernasib baik daripada kita,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Ahmad Faez, perkongsiannya itu bukan sekadar menarik perhatian orang ramai tetapi juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk turut sama membantu.
“Banyak maklum balas yang saya terima dan meninjau ruangan komen, rata-ratanya beri kata positif dan sokong apa dilakukan.
“Lebih menyeronokkan, perkongsian saya itu dapat buka mata orang ramai hingga mereka pun turut sama nak membantu tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
“NGO dan agensi pun cakna bila dengan apa saya kongsikan dan itu yang kita mahu, bukan nak popular atau dikenali kerana masyarakat perlu didahulukan,” katanya
© New Straits Times Press (M) Bhd




