Kematian pelajar Tingkatan 1 di asrama, JPN Kelantan sedia bantu keluarga

Kematian pelajar Tingkatan 1 di asrama, JPN Kelantan sedia bantu keluarga

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Jabatan Pendidikan Kelantan merakamkan ucapan takziah atas kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh yang meninggal dunia, semalam.

Pengarahnya, Siti Norina Muhamad berkata, pihaknya melahirkan rasa dukacita atas pemergian pelajar, Muhammad Amir Asyraf Ahmad Sabri, 13, yang disahkan meninggal dunia selepas didapati tidak sedarkan diri di asrama sekolah itu.

Katanya, JPN Kelantan kini sedang menguruskan bantuan terbaik kepada keluarga mangsa bagi memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan mereka terpelihara.

“Semoga roh Allahyarham anakanda ini dicucuri rahmat dan seluruh keluarga dikurniakan ketabahan serta kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Hasil siasatan awal mendapati punca kematian adalah akibat pendarahan spontan di bahagian kepala serta paru-paru berair.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata siasatan lanjut tidak menemui sebarang unsur jenayah dan jenazah diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top