asyikin.mat@hmetro.com.my
SOLEKAN atau produk penjagaan kulit bukan lagi jaminan untuk mengekalkan kecantikan wanita.
Satu daripada kaedah yang semakin mendapat perhatian ialah amalan senaman berterusan.
Ini kerana, senaman memberi impak besar terhadap seri wajah, postur badan dan keyakinan diri seorang wanita.
Bersenam selama beberapa minit setiap hari sudah cukup untuk melihat perubahan yang ketara dalam jangka panjang.
Beberapa senaman yang boleh diamalkan untuk menyerlahkan kecantikan secara semula jadi.
1- Yoga wajah
Senaman ringan yang memfokuskan otot-otot kecil di muka seperti pipi, dahi dan rahang.
Senaman ini juga menjadi rahsia kulit lebih tegang dan awet muda.
Tip untuk mendapat kelebihan ini ialah perlu melakukan senaman ini secara konsisten.
Senaman ini membantu melancarkan peredaran darah pada wajah dan membantu mengurangkan kedutan halus.
2- Senaman postur badan
Penampilan keseluruhan seseorang wanita dipengaruhi postur badan.
Walaupun mempunyai tubuh langsing, postur tidak seimbang seperti membongkok boleh mengurangkan seri serta keyakinan diri.
Senaman seperti ‘plank’ dan regangan tulang belakang membantu memperbaiki posisi badan, menjadikan tubuh kelihatan lebih tinggi serta kemas.
Apabila postur badan diperbaiki, wanita akan kelihatan lebih yakin dan elegan.
3- Kardio ringan
Senaman kardio seperti berjalan laju, berjoging dan menari membantu meningkatkan kesihatan serta kecantikan kulit.
Peredaran darah yang lebih lancar menjadikan kulit kelihatan lebih berseri secara semula jadi.
Selain membakar kalori dan mengurangkan tekanan, senaman selama 20 hingga 30 minit sehari juga boleh meningkatkan tenaga harian.
4- Senaman regangan
Ia membantu meregangkan otot, meningkatkan fleksibiliti dan memberi keselesaan kepada tubuh.
Senaman ini juga mengurangkan ketegangan otot, melancarkan aliran darah dan membuatkan badan kelihatan lebih ringan serta segar.
Antara regangan mudah yang boleh dilakukan ialah regangan sisi badan, sentuhan ke hadapan dan posisi ‘child pose’.
© New Straits Times Press (M) Bhd




