Penunggang motosikal kritikal dirempuh pemandu mabuk, lawan arus

Penunggang motosikal kritikal dirempuh pemandu mabuk, lawan arus

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seorang penunggang motosikal parah selepas dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki dipercayai mabuk dan melawan arus dalam kejadian di Persiaran Kota, Klang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa lelaki tempatan berusia 20-an dipercayai tercampak akibat rempuhan berkenaan sebelum mengalami kecederaan parah pada anggota badan serta kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, berkata siasatan awal mendapati sebuah Perodua Bezza dipandu lelaki tempatan berusia 30-an itu dari arah Pelabuhan Klang menghala ke Shah Alam sebelum dipercayai dipandu secara melulu dan melawan arus.

“Kereta itu dipercayai melawan arus sejauh kira-kira 3.5 kilometer (km) sebelum merempuh motosikal mangsa yang sedang bergerak di laluannya.

“Akibat kemalangan itu, mangsa menerima rawatan kritikal di Zon Merah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, manakala pemandu kereta hanya mengalami luka ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal mendapati pemandu kereta terbabit positif alkohol.

Katanya, suspek kemudian ditahan untuk tindakan lanjut dan direman sehingga 15 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kecederaan.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara minimum tujuh tahun hingga 10 tahun serta denda antara RM30,000 hingga RM50,000 selain lesen memandu digantung.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Khairulnizam Abdul Talib atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top