Armada Global Sumud Flotilla belah lautan hari ini, bawa misi kemanusiaan ke Gaza

Armada Global Sumud Flotilla belah lautan hari ini, bawa misi kemanusiaan ke Gaza

SHAH ALAM – Misi kemanusiaan antarabangsa, Armada Global Sumud Flotilla dijadualkan memulakan pelayaran bersejarah dari pelabuhan Marmaris di selatan Turkiye pada Khamis.

Pelayaran ini merupakan fasa terakhir dalam usaha menembusi sekatan di sempadan Gaza bagi menyampaikan bantuan kritikal kepada penduduk di wilayah berkenaan.

Chef de Mission Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman mengesahkan sebanyak 54 kapal akan menyertai pelayaran besar-besaran ini.

Daripada jumlah tersebut, lima kapal merupakan hasil kerjasama strategik antara Sumud Nusantara bersama gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC).

“Insya-ALLAH, armada ini akan bergerak membawa lebih 500 peserta yang datang dari hampir 60 negara.

“Matlamat utama kami adalah untuk memastikan koridor kemanusiaan dapat dibuka dan dikekalkan demi kelangsungan hidup penduduk Gaza,” katanya menerusi video pendek dikongsi di laman Facebooknya.

Pelayaran itu juga dilihat sebagai simbolik penting memandangkan ia dilakukan menjelang tarikh ulang tahun ke-78 Hari Nakba yang jatuh pada 15 Mei ini.

“Tarikh tersebut memperingati peristiwa hitam pengusiran kira-kira 800,000 penduduk Palestin dari tanah air mereka,” katanya.

Nadir turut menyeru seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat dunia untuk bangkit bersolidariti pada 15 Mei ini bagi menuntut penghentian segera tindakan genosid yang sedang berlaku.

“Ini adalah peluang dan panggilan terakhir untuk kita bertindak secara bersungguh-sungguh. Kita harus terus mempertahankan hak penduduk Palestin untuk pulang ke tanah air asal mereka dan menuntut kebebasan mutlak buat mereka,” tambah beliau lagi.

Misi Sumud Flotilla kali ini membawa harapan besar bukan sahaja dalam bentuk bantuan fizikal, malah sebagai tekanan diplomatik antarabangsa untuk menamatkan penderitaan yang berpanjangan di bumi Palestin.

Scroll to Top