
JDT berjanji akan bangkit lebih kuat musim depan. Foto: Johor Southern Tigers
PENYERANG sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva mengakui kekecewaan gagal melangkah ke final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC), namun menegaskan skuad Harimau Selatan akan bangkit lebih kuat.
Menurut Bergson, kegagalan tersebut perlu dijadikan pengajaran bagi memastikan JDT menjadi pasukan yang lebih matang pada musim hadapan.
Beliau berkata, pasukan juga telah mempamerkan semangat juang tinggi dan melakukan tugas dengan baik sambil mengakui tidak mudah untuk berdepan Buriram United di laman lawan.
“Atmosfera itu tidak penting. Kami sudah biasa bermain dalam perlawanan seperti ini dan kami telah pun membuktikannya hari ini.
“Saya rasa kami perlu belajar kerana kami sudah melakukan tugas yang sangat baik. Bukan mudah untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan dan bermain di sini.
“Sebagai satu pasukan, kami perlu terus berkembang. Kami perlu belajar daripada pengalaman ini dan melangkah ke musim depan sebagai pasukan yang lebih baik dan lebih matang,” katanya.
Dalam perlawanan itu, JDT berjaya menundukkan Buriram United 2-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Chang Arena, namun terpaksa akur tersingkir selepas tewas dengan agregat 3-4.
Dalam pada itu, Bergson tidak lupa merakamkan penghargaan buat penyokong setia Harimau Selatan yang tidak putus-putus memberikan sokongan, sama ada yang hadir jauh ke Buriram mahupun yang berada di tanah air.
“Terima kasih kepada semua yang menyokong kami, peminat yang datang dari Johor dan juga semua penyokong yang berada di Johor Bahru.
“Kami tiada kata-kata untuk menggambarkan betapa bangganya kami menyarung jersi ini. Inilah JDT,” katanya.



