Kerajaan sedia RM5 bilion pembiayaan mikro bantu lebih 400,000 usahawan

Kerajaan sedia RM5 bilion pembiayaan mikro bantu lebih 400,000 usahawan

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan MADANI komited menyediakan kemudahan pembiayaan mikro melebihi RM5 bilion bagi tahun 2026 untuk membantu peniaga kecil dan usahawan mikro mengembangkan perniagaan serta meningkatkan taraf hidup.

Kemudahan itu dijangka memanfaatkan lebih 400,000 usahawan mikro menerusi pinjaman sehingga RM100,000 yang disalurkan melalui pelbagai skim di bawah agensi dan institusi kewangan pembangunan.

Bagi skim tertentu, kadar pembiayaan yang ditawarkan adalah serendah tiga peratus setahun.

Antara institusi terbabit ialah Amanah Ikhtiar Malaysia, Bank Simpanan Nasional, TEKUN Nasional, Majlis Amanah Rakyat, Agrobank dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, institusi kewangan berkaitan sudah diarahkan supaya mempergiat usaha mendekati lebih ramai peniaga kecil, penjaja dan usahawan mikro yang memerlukan sokongan modal.

Menurutnya, proses permohonan juga perlu dipermudah selain syarat pembiayaan tidak membebankan supaya bantuan dapat disalurkan secara adil dan munasabah.

“Ekonomi MADANI berpijak pada nilai ihsan, keadilan dan kesaksamaan.

“Kemudahan pembiayaan mikro ini mesti sampai kepada rakyat yang mahu menjana rezeki halal dan membina kehidupan yang lebih bermaruah,” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama ketua pegawai eksekutif agensi pembiayaan mikro termasuk AIM, BSN, TEKUN Nasional, Agrobank, MARA, SME Bank dan Bank Rakyat.

Beliau berkata, kemudahan pembiayaan itu menyasarkan pelbagai golongan termasuk peniaga kecil, penjaja pasar malam, wanita, belia, pekerja gig, lepasan TVET, kontraktor kecil, pesawah padi serta golongan asnaf.

Katanya, pembiayaan mikro itu adalah berasingan daripada kemudahan pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang diumumkan sebelum ini, termasuk RM5 bilion di bawah Kemudahan Bantuan Khas PKS oleh Bank Negara Malaysia serta RM5 bilion menerusi Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan.

Secara keseluruhan, lebih RM15 bilion sokongan pembiayaan disediakan kepada PMKS pada tahun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top