SHAH ALAM – Kerjasama antara UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) sukar untuk dilaksanakan walaupun ramai ahli akar umbi mahukan perkara tersebut berlaku.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, ini kerana pengalaman pahit bersama Pas menyebabkan UMNO serik untuk bekerjasama semula dengan parti itu.
Dakwanya, Pas mempunyai sifat iri hati terhadap UMNO.
“Memang betul cakap Shahidan Kassim. Ramai ahli akar umbi mahu MN dihidupkan semula tetapi sukar.
“Parti Pas melihat dari sudut kepentingan politik, patut UMNO dan Pas kuatkan dulu MN tetapi main kayu tiga. Mereka bimbang UMNO jadi dominan.
“Justeru, Pas sertai Perikatan Nasional (PN) di bawah Bersatu. UMNO sudah hilang kepercayaan terhadap kejujuran politik Pas,” katanya
menerusi laman Facebook pada Khamis.
Semalam, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang juga bekas pemimpin UMNO turut mengimbau pemeteraian Piagam MN pada 2019 yang menurutnya melambangkan kesyukuran serta harapan terhadap penyatuan ummah antara dua parti Melayu terbesar itu.
Presiden UMNO, Zahid Hamidi, sebelum ini berkata partinya hanya mungkin mempertimbangkan kerjasama semula dengan Pas jika parti Islam itu menghilangkan ‘DNA khianat’, merujuk kegagalan MN selepas Pas bersama Bersatu membentuk PN.
Tambah Mohd Puad, Pas bukan sahaja pernah tinggalkan Barisan Nasional tetapi juga Angkatan Perpaduan Ummah dan Pakatan Rakyat dan kini PN bermasalah.
“Maka kalau Pas ada niat untuk hidupkan MN, lebih baik Pas sertai Musyawarah Nasional.
“Tiada tujuan politik. Ia diketuai oleh Tan Sri Abd Ghani Othman, tokoh berintergrti,” jelasnya.



