Kehilangan anak dalam nahas enam kenderaan di Jalan Kuching, Sabtu lalu, meninggalkan duka buat Ahmad Syahir Mohammad Nor Izam, namun beliau berharap proses undang-undang dapat memberikan keadilan kepada keluarganya.

Memetik laporan Sinar Harian, bapa kepada Asiah Ahmad Syahir, 5, itu berkata, beliau bersama isteri dan seluruh keluarga menerima pemergian anak mereka sebagai ketentuan Allah, tetapi tetap mahukan pembelaan sewajarnya buat arwah.
“Saya tidak dapat meminta anak saya kembali kerana dia sudah tiada di dunia ini. Apa yang saya minta ialah pembelaan dan hukuman yang sewajarnya, seberat-beratnya terhadap pelaku,” katanya.
Menurut Ahmad Syahir, keluarganya menyerahkan siasatan kepada polis dan akan berusaha mendapatkan keadilan menerusi saluran yang ditetapkan.
“Kami berdoa supaya keadilan dapat ditegakkan dan akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan keadilan buat arwah,” katanya kepada pada Rabu.
Mengimbas detik sebelum tragedi, Ahmad Syahir yang bertugas sebagai bilal berkata, mereka sekeluarga sedang menuju pulang ke rumah di Sungai Pencala selepas bersiar-siar di Keramat.
Beliau ketika itu bersama isteri dan dua anak mereka, serta bergegas pulang kerana perlu melaungkan azan Asar.
Bagaimanapun, perjalanan tersebut bertukar menjadi tragedi apabila mereka terbabit dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 3.44 petang.
“Kejadian itu berlaku sangat pantas, dalam sekelip mata dan memang tidak diduga,” jelasnya.
Ahmad Syahir berkata, beliau cuba menenangkan diri selepas kemalangan supaya dapat mengambil tindakan sewajarnya. Beliau dan isteri masih sedar ketika itu, membolehkan mereka bertindak dalam keadaan cemas.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan polis sedang melengkapkan siasatan berhubung nahas yang mengorbankan Asiah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pemandu BYD Seal berusia 24 tahun yang dipercayai terbabit masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta.
BYD Seal berkenaan dipercayai melanggar belakang Perodua Bezza yang bergerak dalam trafik perlahan dari pusat bandar menuju ke Segambut.
Foto: Pa&Ma
Pelanggaran itu turut membabitkan sebuah motosikal sebelum Bezza berpusing ke lorong kanan lalu melanggar Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.
Asiah yang menaiki Bezza mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.
Pemandu Bezza berusia 30 tahun pula mengalami luka di tangan kanan, manakala penunggang Yamaha 135LC berusia 33 tahun cedera di kepala.
Sementara itu, Ahmad Syahir memaklumkan keluarganya masih menunggu perkembangan lanjut daripada polis, termasuk pengesahan status individu yang dipercayai terbabit.
Walaupun berdepan kehilangan besar, beliau menegaskan keluarganya tidak menyimpan dendam terhadap mana-mana pihak.
Sebaliknya, beliau mahu kes tersebut melalui proses perundangan yang adil dan berharap tragedi itu membawa kepada penambahbaikan dalam pengendalian kes kemalangan maut.
“Saya sangat berharap undang-undang di Malaysia dapat dilaksanakan dengan adil dan membuktikan bahawa sistem perundangan negara ini telus, itu yang saya harapkan,” ujarnya.
Beliau turut berharap pihak yang didapati bertanggungjawab melalui hasil siasatan dan proses undang-undang dikenakan hukuman sewajarnya.




