
Ringgit mengakhiri urus niaga Khamis dengan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang utama dan negara serantau, namun rendah berbanding dolar AS. Gambar hiasan
RINGGIT mengakhiri urus niaga Khamis dengan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang utama dan negara serantau, namun rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Prestasi itu dicatatkan di tengah-tengah petunjuk positif susulan mesyuarat antara Presiden Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping yang dapat memberi manfaat kepada Washington dan Beijing.
Pada 6 petang, ringgit susut kepada 3.9300/9330 berbanding dolar AS daripada paras 3.9285/9325 semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, petunjuk awal hasil pertemuan Trump dan Xi Jinping adalah positif dengan kedua-dua negara memaparkan perkembangan yang menggalakkan.
“Antara petunjuk positif itu adalah pembaharuan permit bagi kilang daging lembu AS selain kenyataan Trump yang menyifatkan hubungan AS-China di paras amat baik berbanding sebelumnya,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, di sudut lain, kalangan peniaga dan pelabur akan terus memantau perkembangan seterusnya, terutama sama ada hasil pertemuan kedua-dua pemimpin itu hari ini dapat diterjemahkan dalam pembukaan semula Selat Hormuz.
Mohd Afzanizam turut berpendapat, ringgit kekal stabil berbanding dolar AS ketika peserta pasaran terus menunggu impak daripada pertemuan Trump dan Xi.
Faktor lain adalah pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2026 esok dengan Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengunjurkan ekonomi negara tumbuh 5.3 peratus bagi tempoh berkenaan.
Pada akhir urus niaga hari ini, ringgit diniagakan kebanyakan mengukuh berbanding mata wang utama.
Ini termasuk naik berbanding yen Jepun kepada 2.4886/4907 daripada 2.4888/4916, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3094/3135 daripada 5.3105/3160 namun susut berbanding euro kepada 4.6009/6044 daripada 4.5987/6034.
Prestasi ringgit juga kebanyakannya meningkat berbanding mata wang serantau.
Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0867/0893 daripada 3.0872/0906, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 224.1/224.4 daripada 224.7/225.1 dan lebih tinggi berbanding peso Filipina pada 6.37/6.38 daripada 6.40/6.41.
Namun berbanding baht Thailand, ringgit susut kepada 12.1506/1652 daripada 12.1419/1599 sebelumnya. – Bernama



