SHAH ALAM – Mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bukan sekadar satu kemenangan politik, sebaliknya ia merupakan satu amanah besar yang menguji kejujuran serta prinsip perjuangan pemimpin.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, detik bersejarah 11 Mei 2018 menjadi titik tolak kepada kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan, sekali gus menuntut sebuah pentadbiran yang lebih bersih, telus dan berintegriti.
Mengimbas kembali detik itu, beliau menegaskan bahawa memegang kuasa adalah ujian sebenar berbanding ketika berada di blok pembangkang.
“Semasa belum ada kuasa, kita uji kerajaan dengan mengkritik mereka. Bila kita berkuasa, kita pula diuji dengan integriti kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Beliau menjelaskan, ujian tersebut bukan sahaja melibatkan aspek kemampuan mentadbir, malah merangkumi kesetiaan terhadap perjuangan asal bagi mengelakkan diri daripada terjerumus dalam godaan jawatan dan pengaruh.
“Masa jadi pembangkang, kita bercakap soal idealisme, keadilan dan harapan rakyat. Tetapi bila diberi amanah mentadbir negara, cabarannya jauh lebih besar.
“Kita bukan sahaja diuji dari sudut kemampuan mentadbir, tetapi juga diuji dengan kejujuran, prinsip dan kesetiaan kepada perjuangan asal,” katanya.
Mohamad turut menekankan bahawa pemimpin kini berdepan cabaran besar untuk memastikan suara rakyat terus didengari walaupun sudah berada di tampuk kuasa.
Jelasnya, integriti kepimpinan kini diuji melalui keupayaan mengutamakan kepentingan rakyat melebihi percaturan politik, kekal bersih daripada godaan pengaruh serta terus mempertahankan perpaduan dan kestabilan negara dalam suasana politik yang penuh cabaran.
“Sejarah 11 Mei 2018 bukan sekadar tentang kemenangan politik. Ia adalah peringatan bahawa mandat rakyat datang bersama amanah yang sangat besar.
“Perjuangan sebenar bukan hanya untuk mendapatkan kuasa, tetapi bagaimana kuasa itu digunakan dengan penuh integriti demi rakyat dan masa depan Malaysia,” katanya.



