harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah berjaya mematahkan pelbagai cubaan menyeludup migran dan setakat hari ini menahan 335 warga asing menerusi Op Taring Nyah 1 di pesisir perairan sekitar Selangor dan Johor sejak 1 Januari.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, usaha berterusan dijalankan pihaknya bagi membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Bermula 1 Januari sehingga 11 Mei 2026, Briged Tengah PGA merekodkan 38 serbuan yang membawa kepada 55 kes membabitkan
335 tangkapan terdiri daripada 237 lelaki, 96 wanita dan dua kanak-kanak kesemuanya warga asing.
“Turut ditahan 37 individu disyaki tekong darat terdiri daripada lima lelaki warga tempatan, 29 lelaki dan dua wanita Indonesia serta seorang lelaki Myanmar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil daripada semua serbuan itu pihak polis merampas 20 buah pelbagai jenis kenderaan, bot (3), dan telefon bimbit (57) serta lain-lain rampasan bernilai keseluruhan dianggarkan RM 1.6 juta.
Hakemal berkata, tangkapan dan rampasan Op Taring Nyah itu dilaksanakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Dalam perkembangan lain Hakemal berkata pihaknya turut menjalankan 159 pelbagai jenis operasi penguatkuasaan bagi tempoh 1 Januari sehingga hari ini antaranya Op Taring Alpha, Op Taring Bravo, OP Taring Charlie, OP Taring Delta, Op Hazard, OP Mitra, Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), Op Palma, Op Intra/Inter agensi.
“Hasilnya, seramai 551 individu berjaya ditangkap, dengan pelbagai jenis rampasan membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM 242 juta.
“Pihak polis menerusi PGA khususnya akan terus menjalankan tugas bagi menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




