Siapa ‘Raja ASEAN’ sebenar?

Siapa ‘Raja ASEAN’ sebenar?
Siapa ‘Raja ASEAN’ sebenar?

Menanti Selangor FC di final ACC adalah juara bertahan, Buriram United yang sebelum itu menewaskan JDT 4-3 secara agregat. Foto: Selangor FC

STATUS ‘Raja ASEAN’ perlu dibuktikan menerusi kejayaan memenangi pertandingan yang diiktiraf di rantau ini.

Pemerhati sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli berpendapat, pasukan yang menjuarai Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) layak diangkat sebagai Raja ASEAN sebenar kerana kejohanan itu menghimpunkan kelab terbaik dari rantau Asia Tenggara.

Menurutnya, gelaran tersebut perlu bersandarkan kepada pencapaian rasmi dan bukannya penilaian ranking atau reputasi semata-mata.

“Kalau sesebuah pasukan menjuarai kejohanan kelab ASEAN, maka mereka bolehlah mengisytiharkan diri sebagai Raja ASEAN. Itu asasnya.

“Kita bercakap mengenai realiti dalam bola sepak. Untuk diiktiraf sebagai juara, mesti ada platform dan kejohanan rasmi yang mengiktiraf pencapaian itu.

“Kalau di Malaysia, pasukan yang menjuarai Liga Super ialah juara liga. Tak boleh pasukan di tempat kedua atau ketiga mendakwa mereka lebih hebat hanya kerana pernah menewaskan juara,” katanya kepada Sukan Sinar.

Sebelum ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) diletakkan sebagai kelab nombor satu Asia Tenggara berdasarkan ranking dikeluarkan oleh Opta Analyst sekali gus ramai melabel pasukan itu sebagai Raja ASEAN.

Namun, kegagalan skuad Harimau Selatan itu mara ke final ACC selepas tewas kepada Buriram United dalam aksi separuh akhir menimbulkan perdebatan dalam kalangan penyokong siapa Raja ASEAN sebenar.

Pertembungan final kejohanan ACC itu akan menemukan Buriram dan Selangor FC.

Menurut Pekan, pencapaian dalam ACC tidak seharusnya diperkecilkan hanya kerana sesebuah pasukan gagal menjuarai liga domestik pada musim semasa.

Katanya, kelayakan ke kejohanan itu sendiri diperoleh berdasarkan pencapaian dan ia tetap menjadi pentas rasmi untuk menentukan juara rantau ASEAN.

“Tak kisahlah kalau Selangor tidak juara Liga Super. Mereka berada dalam kejohanan ini berdasarkan merit dan pencapaian.

“Jadi, siapa yang menang final nanti, merekalah juara kelab ASEAN yang sebenar.

“Kita tak boleh kata kejuaraan itu tak penting hanya kerana pasukan tersebut tidak menjuarai liga domestik musim ini,” katanya.

Scroll to Top