Dua kali melabur, dua kali terpedaya

Dua kali melabur, dua kali terpedaya

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Akibat ‘ketagih’ ingin menyertai pelaburan menguntungkan, seorang wanita yang juga penjawat awam mengalami kerugian hampir RM100,000 dalam tempoh dua minggu selepas menyertai dua pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa wanita berusia 38 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada jam 2.50 petang semalam.

Menurutnya, pada 1 Mei lalu kira-kira jam 2 petang, mangsa berada di rumahnya di daerah ini melihat satu iklan pelaburan di aplikasi Telegram.

Katanya, mangsa kemudian berminat untuk menyertai pelaburan yang dinamakan ‘Webull’ yang dikendalikan seorang individu bernama Khalid Abd Hamid.

“Mangsa kemudian diberikan penerangan berkaitan pelaburan itu dan dijanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh enam jam selepas pelaburan dibuat.

“Mangsa kemudian memilih pakej permulaan sebanyak RM1,000. Selepas membuat bayaran pertama, mangsa diminta untuk membuat beberapa bayaran tambahan atas pelbagai alasan kononnya bagi membolehkan keuntungan dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa turut membuat 12 transaksi ke empat akaun yang berbeza keseluruhan berjumlah RM48,965.

Menurutnya, transaksi itu dilakukan pada 1 hingga 7 Mei lalu.

Azli berkata, pada 11 Mei lalu mangsa sekali lagi terpedaya dengan satu lagi pelaburan dikenali sebagai ‘Sunway Trade’ yang juga diiklankan di Telegram.

“Dengan janji keuntungan dalam tempoh 30 minit, mangsa kemudian melakukan beberapa transaksi ke akaun bank berbeza sehingga mengalami kerugian tambahan sebanyak RM50,311.

“Selepas itu, mangsa masih diminta membuat bayaran lagi sebanyak RM38,527, namun mangsa tidak berbuat demikian kerana mengesyaki dirinya ditipu manakala dalam kes ini transaksi dilakukan pada 11 hingga 13 Mei lalu,” katanya.

Menurutnya, pelaburan itu dilakukan secara online dan pengadu tidak ada bersemuka dengan mana-mana individu, manakala sumber kewangan adalah wang milik sendiri dan hasil gadaian barang kemas milik mangsa.

Katanya, mangsa langsung tidak menerima sebarang keuntungan dalam urusan pelaburan itu sebelum datang ke balai polis membuat laporan.

Azli berkata, akibat terpedaya mangsa mengalami kerugian sebanyak RM99,276 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top