am@hmetro.com.my
Tawau: Pemilik sebuah syarikat pengurusan pakej umrah dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan gagal mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membabitkan tuntutan keseluruhan RM51,800.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan terhadap Norhayani M Ilham, 44, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir perbicaraan.
Mahkamah bagaimanapun memerintahkan semua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan hari ini.
Norhayani selaku pemilik syarikat UK Global Halal Digital Marketplace didakwa gagal mematuhi award TTPM bertarikh 27 Ogos 2024 yang mengarahkannya membayar tuntutan kepada tiga penuntut membabitkan jumlah keseluruhan RM51,800.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau di sini mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Dayang Aidaku Amira dalam keputusan berkata, mahkamah sudah mempertimbangkan dengan teliti pembelaan tertuduh melalui keterangan tidak bersumpah yang diberikan dari kandang tertuduh.
Bagaimanapun katanya, dakwaan ugutan, rundingan antara pihak-pihak terbabit, masalah kesihatan serta kesukaran peribadi yang dibangkitkan tertuduh tidak menafikan obligasi undang-undang terhadap award tribunal yang dikenakan ke atasnya.
“Mahkamah ini bukan forum rayuan terhadap keputusan tribunal dan merit atau ketepatan award tribunal itu tidak boleh dibuka semula dalam prosiding ini.
“Lebih-lebih lagi apabila tiada cabaran sah pernah dikemukakan terhadap award berkenaan pada peringkat awal,” katanya.
Beliau berkata, tertuduh memilih memberi keterangan tidak bersumpah menyebabkan keterangan itu tidak tertakluk kepada pemeriksaan balas dan perlu dinilai secara berhati-hati dengan nilai probatif lebih rendah.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi dengan jaminan RM2,500 bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh turut diperintahkan memfailkan notis rayuan hari ini.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN Sabah, Gunasegaran Krishnan bersama Malai Rosidi Malai Muhamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 23 April lalu, Norhayani turut dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan selepas didapati bersalah atas kesalahan sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




