Op Pusak Merah: 23 ahli sindiket jenayah terancang didakwa

Op Pusak Merah: 23 ahli sindiket jenayah terancang didakwa

mdroji@bh.com.my

Kuching: Seramai 23 ahli kumpulan jenayah terancang yang dipercayai terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah kekerasan di Sarawak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Kesemua tertuduh berusia antara 19 hingga 44 tahun didakwa menganggotai kumpulan jenayah terancang yang ditahan dalam Op Pusak Merah mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

Pertuduhan dibuat susulan operasi khas dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Kontinjen Sarawak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata kumpulan terbabit aktif melakukan jenayah kekerasan termasuk rompakan mendatangkan kecederaan, khianat dengan api, rusuhan bersenjata dan pemerasan di sekitar Sarawak sejak 2020.

Menurutnya, operasi khas yang dijalankan antara 19 hingga 23 April lalu menahan 23 suspek warga tempatan, manakala tiga lagi ahli kumpulan masih diburu polis.

“Kesemua suspek yang ditahan direman mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sehingga 18 Mei ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas selaras senjata api jenis pump gun, sejumlah peluru 12 bore pelbagai jenama, dua bilah pedang samurai dan dua bilah parang panjang.

Katanya, semua ahli kumpulan terbabit mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk bunuh, rompakan berkumpulan, khianat dengan api, menyebabkan kecederaan parah, ugutan jenayah, pecah rumah, curi kenderaan dan pengedaran dadah.

“Siasatan mendapati kumpulan ini menjalankan kegiatan pemerasan bagi mendapatkan wang perlindungan selain menyerang premis yang gagal membuat bayaran.

“Mereka juga melakukan ugutan jenayah dan mencederakan individu yang enggan mengikut kehendak kumpulan,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan operasi itu membolehkan polis menyelesaikan kira-kira 25 kes jenayah serta melumpuhkan satu sindiket jenayah kekerasan yang aktif di negeri ini.

Katanya, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, semua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun.

Dalam perkembangan sama, Kumar berkata sejak beliau memegang jawatan Pengarah JSJ pada Ogos 2025, sebanyak enam kumpulan jenayah terancang berjaya dilumpuhkan dengan 81 suspek dituduh di mahkamah.

Beliau turut menegaskan JSJ akan terus mempergiat operasi membanteras gangsterisme dan jenayah kekerasan bagi memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top