Trump akhirnya ke Beijing: Siapa sebenarnya lebih tertekan?

Trump akhirnya ke Beijing: Siapa sebenarnya lebih tertekan?

PERTEMUAN antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping di Beijing bukan sekadar lawatan diplomatik biasa.

Di sebalik sambutan rasmi penuh istiadat di Dewan Besar Rakyat China, dunia sebenarnya sedang menyaksikan perubahan besar dalam imbangan kuasa global antara Washington dan Beijing.

Selama bertahun-tahun, Trump membina imej sebagai pemimpin paling keras terhadap China.

Sejak penggal pertama pentadbiranya, beliau melancarkan perang tarif besar-besaran, mengenakan sekatan teknologi, menyekat eksport cip semikonduktor dan cuba memindahkan rantaian bekalan global keluar dari China.

China pula sering digambarkan sebagai ancaman terbesar kepada dominasi ekonomi serta teknologi AS.

Trump (kanan) dan Xi Jinping (kiri) memeriksa kawalan kehormatan semasa upacara sambutan di Beijing. Foto: AFP

Trump (kanan) dan Xi Jinping (kiri) memeriksa kawalan kehormatan semasa upacara sambutan di Beijing. Foto: AFP

Tekanan tidak lumpuhkan Beijing

Namun selepas bertahun tekanan dikenakan, Trump akhirnya sendiri terbang ke Beijing sambil membawa delegasi tokoh korporat utama Amerika termasuk pemilik Tesla, Elon Musk serta Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang.

Kehadiran tokoh-tokoh ini sendiri memberi mesej jelas bahawa syarikat gergasi AS masih sangat memerlukan China sama ada sebagai pasaran, pusat pengeluaran mahupun rakan industri teknologi.

Ironinya, banyak strategi tekanan Washington sebelum ini gagal melemahkan China seperti dijangkakan.

Sebaliknya, Beijing mempercepat pembangunan teknologi domestiknya sendiri. Ketika AS menyekat eksport cip AI, China meningkatkan pelaburan besar-besaran dalam semikonduktor tempatan.

Dalam sektor tenaga hijau, bateri elektrik, nadir bumi dan kecerdasan buatan (AI), syarikat China kini mula muncul sebagai pesaing serius kepada Barat.

Xi dan Trump mengadakan pertemuan dua hala di Dewan Besar Rakyat, Beijing.

Xi dan Trump mengadakan pertemuan dua hala di Dewan Besar Rakyat, Beijing.

AS turut terkesan

Pada masa sama, ekonomi AS sendiri turut menerima kesan daripada perang perdagangan berpanjangan.

Banyak syarikat Amerika mengalami peningkatan kos pengeluaran akibat tarif, manakala pasaran China yang sangat besar sukar digantikan.

Bagi syarikat seperti Tesla dan Nvidia, hubungan stabil dengan Beijing bukan lagi pilihan, tetapi keperluan strategik.

Lawatan Trump kali ini juga berlaku ketika Washington berdepan pelbagai tekanan serentak termasuk konflik Iran, perang Ukraine, persaingan AI global serta ketidakstabilan rantaian bekalan dunia.

Keadaan itu menyebabkan pendekatan konfrontasi sepenuhnya terhadap China menjadi semakin sukar dipertahankan.

Kelebihan simbolik buat Xi

Dari sudut psikologi diplomatik, hakikat bahawa Trump sendiri datang ke Beijing memberi kelebihan simbolik kepada Xi.

Selama ini Trump sering menggambarkan China sebagai pihak yang memerlukan AS, namun keadaan kini kelihatan jauh lebih seimbang.

Trump (tengah) memperkenalkan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Twitter dan Tesla, Elon Musk (kanan), kepada Naib Presiden China Han Zheng di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing. Foto: AFP

Trump (tengah) memperkenalkan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Twitter dan Tesla, Elon Musk (kanan), kepada Naib Presiden China Han Zheng di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing. Foto: AFP

China bukan lagi sekadar kuasa ekonomi membangun, tetapi sudah menjadi pemain global yang tidak boleh diketepikan walaupun oleh Washington.

Ini tidak bermaksud China telah ‘menang’ sepenuhnya terhadap AS. Amerika masih kekal sebagai kuasa ekonomi dan ketenteraan terbesar dunia.

Namun lawatan ini menunjukkan satu realiti baharu bahawa strategi tekanan maksimum terhadap Beijing tidak lagi memberi hasil mutlak seperti dahulu.

Akhirnya, pertemuan Trump-Xi di Beijing memperlihatkan dunia sedang bergerak ke arah sistem multipolar, di mana AS tidak lagi boleh memaksa China tunduk secara unilateral, manakala China pula semakin yakin berunding dari posisi yang jauh lebih kuat berbanding sedekad lalu.

Malah lawatan Trump ke Beijing membuktikan bahawa tekanan terhadap China tidak lagi berkesan seperti dahulu.

Sebaliknya, hubungan kedua-dua kuasa kini lebih bersifat saling bergantung, memaksa AS dan China mencari jalan rundingan bagi mengelakkan ketegangan yang boleh menjejaskan ekonomi dunia.

Scroll to Top