Toyo Tires buka cawangan premium pertama di Kota Bharu

Toyo Tires buka cawangan premium pertama di Kota Bharu

KOTA BHARU – Pengeluar tayar antarabangsa, Toyo Tires terus memperkukuh kedudukannya dalam industri automotif tempatan menerusi pelancaran cawangan perdana premium Toyo TayarTen pertama di daerah ini yang dikendalikan oleh QS Tyres and Autocare Centre.

Majlis pelancaran rasmi cawangan di Wakaf Mek Zainab tersebut menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama strategik jangka panjang antara kedua-dua pihak yang terjalin sejak tahun 1994.

Presiden merangkap Pengarah Urusan Toyo Tyre Sales dan Marketing Malaysia Sdn Bhd, Tan Song Chye berkata, pembukaan cawangan premium berkenaan mencerminkan komitmen syarikat dalam memperluaskan pengalaman perkhidmatan automotif moden dan berkualiti kepada pengguna di Pantai Timur.

Menurut beliau, konsep Toyo TayarTen menggabungkan budaya tempatan dengan teknologi canggih Jepun melalui falsafah ‘Buatan Malaysia, Keunggulan Jepun’.

“Nama TayarTen sendiri menggabungkan perkataan ‘tayar’ dalam bahasa Melayu dan ‘ten’ dalam bahasa Jepun yang membawa maksud kedai, sekali gus melambangkan kerjasama strategik Malaysia dan Jepun dalam pasaran tayar tempatan.

“Kami percaya konsep ini mampu menawarkan produk serta perkhidmatan berkualiti tinggi pada harga berpatutan selain memenuhi keperluan pengguna masa kini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran cawangan berkenaan di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Naib Presiden Eksekutif Jualan dan Pemasaran Toyo Tyre Malaysia, Keishi Inoue; Pengasas QS Tyres & Autocare Centre, Wong Chee Kuan; Pengarah QS Tyres & Autocare Centre, Lee Poo Yun selain tetamu jemputan, wakil media serta kenamaan tempatan.

Song Chye berkata, cawangan premium itu turut diposisikan sebagai hab e-mobiliti berasaskan falsafah 3E yang memberi penekanan kepada amalan mesra alam, inovasi dan kecemerlangan perkhidmatan pelanggan menerusi model perniagaan e-retailing baharu.

Toyo Tires buka cawangan premium pertama di Kota Bharu

Chee Kuan (kanan) dan Poo Yun (kiri) yang hadir pada pelancaran cawangan premium Toyo TayarTen di Kota Bharu. Foto: Toyo Tires

Katanya, selaras agenda transformasi digital syarikat, aplikasi mudah alih T-Care dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun ini bagi menawarkan kemas kini secara langsung, promosi eksklusif dan meningkatkan kesetiaan pelanggan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Toyo Tires kini menyediakan rangkaian penuh tayar pengguna termasuk untuk kenderaan elektrik bateri (BEV), Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV) dan Hybrid Electric Vehicle (HEV) susulan peningkatan permintaan yang memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Siri Proxes direka untuk memberikan prestasi pemanduan tinggi serta keselesaan optimum kepada pengguna, manakala Proxes Comfort yang diperkenalkan awal tahun ini memberi fokus kepada tahap keselesaan lebih unggul,” katanya.

Tambah beliau, Toyo Tires juga akan menganjurkan kempen Goal Fest 2026 sempena Piala Dunia 2026 di pusat beli-belah AEON di seluruh Semenanjung Malaysia bermula 21 Mei hingga 26 Julai depan.

Menurutnya, kempen tersebut turut berlangsung di AEON Mall Kota Bharu dari 17 hingga 20 Jun dengan pelbagai promosi dan aktiviti menarik untuk pelanggan.

 

Scroll to Top