puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malam Kemuncak dan Karpet Merah Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) yang berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada 26 September lalu mencatat lebih 24.5 juta tontonan dan interaksi.
Jumlah tontonan berkenaan termasuk kandungan promosi di platform media sosial di seluruh platform TV Sarawak (TVS).
Kejayaan ini secara tidak langsung memperlihatkan keupayaan TVS sebagai sebuah organisasi media pelbagai platform dalam membawa acara berskala nasional dari Sarawak kepada khalayak yang lebih luas.
Selain siaran televisyen, kandungan menerusi TVS Inspire dan media sosial turut membolehkan detik-detik menarik sepanjang AIM25 terus diikuti, ditonton dan dikongsi oleh penonton selepas acara berakhir.
Sempena sambutan Jubli Perak, penganjuran AIM25 melakar sejarah tersendiri apabila julung kalinya membawa pentas anugerah muzik terbesar tanah air ke Kuching.
Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dalam kenyataan memaklumkan malam kemuncak turut mencipta rekod siaran penyerahan trofi terpanjang dalam sejarah AIM iaitu sekitar empat jam tidak termasuk acara karpet merah yang bersiaran selama satu jam 30 minit.
Pada acara itu, Mimifly menerima trofi terbanyak apabila merangkul lima trofi, termasuk Video Muzik Terbaik dan Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik menerusi lagu Temberang.
Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza pula meraih empat anugerah termasuk Vokal Wanita Terbaik (Kesuma), serta Lagu Tradisional Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi Pesanan Buat Diri.
Dalam pada itu, Aisha Retno meraih tiga kemenangan menerusi Album Terbaik dan Rakaman Album Terbaik bagi [RE.HAB], di samping Lagu Inggeris Tempatan Terbaik menerusi O.R.B.I.T.
Menambah keistimewaan malam kemuncak berkenaan, anak jati Sarawak, Mawat mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi pemenang pertama bagi kategori Lagu Borneo Terbaik menerusi Dayang Bintang.
Kategori baharu ini julung kali diperkenalkan khas bagi memberi pengiktirafan dan julangan tertinggi kepada karya yang mengangkat identiti muzik Borneo.
Manakala, Ratu Rock Negara, Ella dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sri Wirama atas dedikasi berterusan sepanjang pembabitannya dalam industri muzik tempatan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Kushairi Abang berkata, penganjuran AIM25 menjadi detik penting dalam usaha mendekatkan pencapaian industri muzik tanah air kepada penonton di seluruh negara.
“Kami melihat penganjuran AIM25 di Sarawak sebagai detik penting buat TVS untuk mendekatkan kemeriahan dan pencapaian industri muzik tanah air kepada penonton di seluruh negara, di samping mengetengahkan bakat serta karya tempatan, khususnya dari Sarawak dan Borneo, ke pentas nasional.
“Sebagai penyiar rasmi, kami berharap penganjuran AIM25 di Sarawak menjadi permulaan kepada lebih banyak kerjasama di antara TVS dan industri muzik, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk bakat dan karya tempatan mendapat perhatian di peringkat nasional,” katanya.
TVS akan menyiarkan semula malam kemuncak AIM25 pada jam 7.30 pagi 4 Oktober 2026 (esok).
© New Straits Times Press (M) Bhd




