Digantung Bersatu: Ikmal Hisham tidak akan buat rayuan, nekad tanding PRU16

Digantung Bersatu: Ikmal Hisham tidak akan buat rayuan, nekad tanding PRU16

KOTA BHARU – Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menegaskan beliau tidak akan membuat rayuan terhadap tindakan penggantungan keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selama dua penggal yang dikenakan ke atasnya.

Beliau berkata, tindakan disiplin tersebut dibuat selepas beliau didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli parti.

“Saya menerima notis tunjuk sebab pada 29 April lalu susulan aduan diterima Lembaga Disiplin pada 20 April berkaitan kehadirannya ke beberapa program politik,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, antara perkara yang dibangkitkan ialah kehadiran beliau ke program yang dianjurkan individu yang telah digantung dan dipecat parti selain menghadiri Program Aidilfitri RESET Malaysia pada 10 April lalu.

Katanya, bagaimanapun beliau mempersoalkan tindakan dikenakan ke atasnya hanya kerana menghadiri program berkenaan.

“Apakah salah saya menghadiri program yang dianjurkan oleh individu yang telah digantung dan dipecat sedangkan ia sebagai tanda simpati kepada sahabat seperjuangan?

“Saya juga hairan kenapa kehadiran ke majlis Aidilfitri yang bertujuan mengeratkan silaturahim dianggap satu kesalahan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mendakwa tindakan tersebut mempunyai niat untuk menghalangnya daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Namun katanya, keputusan sama ada beliau akan terus bertanding bukan ditentukan oleh Bersatu, sebaliknya rakyat Tanah Merah.

“Insya-ALLAH saya akan tetap bertanding jika rakyat Tanah Merah terus menyokong saya walaupun bukan lagi di bawah payung Bersatu,” katanya.

Beliau turut menegaskan akan terus membawa suara rakyat atas kapasiti Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, walaupun semua jawatan dalam Bersatu telah dilucutkan dan beliau dilarang membuat kenyataan atas nama parti itu, kedudukannya sebagai wakil rakyat PN tidak terjejas.

“Saya masih lagi Ahli Parlimen Perikatan Nasional dan paling penting saya bertanding pada PRU15 menggunakan lambang Pas.

“Oleh itu saya akan terus melaksanakan tanggungjawab dan bersuara serta memperjuangkan nasib penduduk Tanah Merah dan negara atas nama PN,” katanya.

Mengulas hala tuju politiknya selepas ini, Ikmal Hisham memberitahu, beliau belum membuat sebarang keputusan memandangkan statusnya ketika ini hanya digantung dan bukannya dipecat daripada Bersatu.

“Insya-ALLAH apabila tiba masanya saya akan memaklumkan hala tuju politik saya,” katanya.

Scroll to Top