Tuntutan 18 tahun penjara ke atas Nadiem cetus kemarahan ramai

Tuntutan 18 tahun penjara ke atas Nadiem cetus kemarahan ramai

JAKARTA – Tuntutan hukuman penjara 18 tahun terhadap bekas Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim oleh pihak pendakwaan berhubung dakwaan rasuah dalam perolehan komputer riba Chromebook enam tahun lalu mencetuskan kemarahan ramai pihak.

Malah, kebanyakan mereka menyifatkan hukuman penjara yang diminta pendakwa raya sebagai tidak adil terhadap antara usahawan teknologi paling berpengaruh di negara itu.

Dalam prosiding di Mahkamah Rasuah Jakarta pada Rabu, pendakwa raya dari Pejabat Peguam Negara (AGO) menuntut hukuman penjara selama 18 tahun terhadap Nadiem atas dakwaan memanipulasi spesifikasi tender perolehan Chromebook ketika beliau memegang portfolio Menteri Pendidikan.

Nadiem yang merupakan pengasas bersama syarikat e-hailing Gojek pada 2010, meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu pada 2019 sebelum dilantik sebagai Menteri Pendidikan di bawah pentadbiran bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo sehingga 2024.

Menurut pendakwa raya, Nadiem meluluskan perubahan spesifikasi tender yang didakwa hanya sesuai untuk Chromebook dalam pembelian komputer riba bagi sekolah di kawasan pedalaman dan kurang membangun antara 2019 hingga 2022.

Tindakan itu didakwa dilakukan walaupun pasukan penyelidik kementerian menasihatkan agar penggunaan Chromebook dielakkan kerana dianggap tidak berkesan di kawasan yang mempunyai capaian internet terhad.

Pendakwa turut mendakwa keputusan tersebut menyebabkan kerugian negara mencecah 2.18 trilion rupiah (kira-kira RM489 juta).

Selain itu, Nadiem juga dituduh memperkayakan diri sebanyak 809 bilion rupiah (kira-kira RM182.6 juta) melalui projek berkenaan yang dikaitkan dengan kepentingan peribadinya terhadap pelaburan Google dalam syarikat induk Gojek ketika itu, PT Aplikasi Karya Anak Bangsa, meskipun syarikat terbabit tidak terlibat secara langsung dalam perolehan komputer riba tersebut.

Pejabat Peguam Negara turut menuntut Nadiem membayar ganti rugi kepada negara sebanyak 5.6 trilion rupiah (RM1.2 bilion) serta denda 1 bilion rupiah (RM224,335).

Bagaimanapun, Google tidak dituduh melakukan sebarang kesalahan dan dalam kenyataan blog, syarikat itu menegaskan Chromebook direka untuk digunakan dalam persekitaran pembelajaran luar talian serta kawasan terpencil.

Selepas prosiding mahkamah, Nadiem menyifatkan tuntutan hukuman penjara 18 tahun itu sebagai “tidak masuk akal” dan menegaskan pihak pendakwa gagal membuktikan beliau memperoleh keuntungan peribadi daripada projek tersebut.

Perbicaraan itu turut mendapat perhatian ramai apabila bapanya, peguam korporat terkenal Nono Anwar Makarim hadir di mahkamah bersama puluhan pemandu ojek dalam talian yang memenuhi ruang lobi sebagai tanda sokongan.

Peguam hak asasi manusia terkemuka Indonesia, Todung Mulya Lubis turut mengkritik tuntutan hukuman tersebut dan menyifatkannya sebagai keterlaluan.

Beliau membandingkan kes Nadiem dengan kes bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Thomas Lembong yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara dalam kes import gula sebelum menerima pengampunan Presiden tahun lalu.

Menurut Todung, kedua-dua mereka didakwa atas keputusan dasar yang sebenarnya berada dalam bidang kuasa rasmi mereka sebagai penjawat awam.

“Persoalannya sama ada Nadiem benar-benar memperkayakan dirinya melalui projek itu, namun sepanjang perbicaraan tiada bukti kukuh dikemukakan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa keputusan seperti itu boleh menjejaskan minat golongan profesional muda dan usahawan tempatan untuk menyertai sektor awam pada masa depan.

Sementara itu, pakar undang-undang dan bekas Ketua Pusat Pelaporan dan Analisis Transaksi Kewangan (PPATK), Yunus Husein turut menyifatkan hukuman yang dituntut terhadap Nadiem terlalu berat.

Katanya, jumlah denda besar yang dikenakan juga menimbulkan persoalan kerana ia sepatutnya berkait secara langsung dengan jumlah wang yang benar-benar dinikmati oleh tertuduh.

Kes itu turut mencetuskan gelombang sokongan terhadap Nadiem di media sosial apabila namanya menjadi sohor kini di platform X.

Difahamkan, kenyataan pembelaan dijangka hanya akan dikemukakan seawal 2 Jun depan kerana Nadiem perlu menjalani pembedahan berkaitan masalah fistula perianal.

Mahkamah juga sebelum ini membenarkan beliau dipindahkan daripada pusat tahanan kepada tahanan rumah atas faktor kesihatan.

Setakat ini, mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara antara empat hingga empat tahun setengah terhadap dua bekas pegawai kementerian serta seorang perunding teknologi, Ibrahim Arief yang dikaitkan dengan kes tersebut.

Namun, keputusan terhadap Ibrahim turut mengundang perdebatan apabila dua hakim mengemukakan pendapat berbeza dan berpandangan beliau sepatutnya dibebaskan kerana hanya memberikan nasihat teknikal tanpa kuasa membuat keputusan rasmi. – Agensi

Scroll to Top