SHAH ALAM – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menyifatkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai “hadiah paling buruk” sempena sambutan Hari Guru tahun ini.
Beliau mendakwa tindakan itu merupakan pengkhianatan terhadap usaha guru-guru yang komited menjayakan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Menurutnya, pengiktirafan untuk kemasukan ke semua program ijazah di IPTA itu akan memberikan implikasi besar terhadap sistem pendidikan negara.
“Pelajar warganegara Malaysia sebelum ini secara umumnya layak dipertimbangkan kemasukan ke program ijazah di IPTA melalui saluran Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), program asasi dan matrikulasi yang sukatan matapelajaran dan peperiksaannya ditadbir oleh badan kerajaan seperti Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia dan Universiti Awam.
“Dengan pengiktirafan sijil UEC, terdapat satu lagi saluran bagi kemasukan ke IPTA yang sukatan matapelajaran dan peperiksaannya ditadbir sepenuhnya oleh sebuah badan bukan kerajaan yang piawaiannya tidak dikawal oleh mana-mana badan kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Muhyiddin berkata, tiada mana-mana badan kerajaan membuat penilaian jaminan kualiti, pengauditan sukatan matapelajaran, proses pengajaran dan pembelajaran, peperiksaan dan pemarkahan UEC.
“Keadaan ini akan mewujudkan dwi-standard dalam penilaian permohonan kemasukan pelajar warganegara Malaysia ke IPTA yang melibatkan dua saluran kemasukan berbeza dengan standard yang berbeza,” katanya lagi.
Bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan itu berkata, kajian oleh Kementerian Pendidikan ketika di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) mendapati sukatan matapelajaran dan peperiksaan UEC tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Ketika itu, saya telah mencadangkan kepada Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) supaya Kementerian Pendidikan menjalankan kajian menyeluruh terhadap sistem pendidikan persendirian Cina termasuk sukatan matapelajaran dan pentadbiran peperiksaan UEC sebelum kerajaan menimbangkan pengiktirafan sijil UEC.
“Namun, cadangan saya tersebut tidak dipersetujui oleh Dong Zong dan kerajaan membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf sijil UEC,” katanya.
Beliau berpandangan keputusan kerajaan Madani mengiktiraf sijil UEC dibuat secara tergesa-gesa dan dipercayai mempunyai tujuan politik untuk memastikan sokongan berterusan parti DAP terhadap kerajaan campuran hari ini.
“Saya ingin mengingatkan bahawa keputusan dasar yang penting tidak boleh dibuat atas pertimbangan politik semata-mata sebaliknya kajian menyeluruh mestilah terlebih dahulu dibuat untuk mengkaji kesan dasar ini terhadap masa depan sistem pendidikan negara.
“Perkara ini termasuk implikasi terhadap kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, perpaduan nasional dan identiti Malaysia sebagai sebuah negara-bangsa,” ujarnya.
Muhyiddin turut mengingatkan bahawa pendidikan bukan semata-mata medium untuk melahirkan modal insan bagi pembangunan negara tetapi juga alat pembinaan dan penyatuan negara bangsa.



