Demi anak autisme, guru pilih pendidikan khas

Demi anak autisme, guru pilih pendidikan khas

IPOH: Pengalaman membesarkan anak yang didiagnosis dengan gangguan spektrum autisme (ASD) menjadi titik perubahan buat seorang guru untuk mendalami bidang pendidikan khas.

Penerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2026, Dr. Velerie Wheelervon Primus, 37, berkata, kasih sayang terhadap anak lelaki tunggalnya yang berusia 11 tahun mendorong beliau beralih ke bidang itu bagi membantu pembelajaran kanak-kanak tersebut.

Malah katanya, ia juga menjadi asas kepada pembangunan beberapa pendekatan intervensi yang kini digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran murid berkeperluan khas.

“Saya memulakan kerjaya dalam bidang pendidikan sebagai guru sukan sebelum mengajar seni. Selepas anak lelaki saya disahkan menghidap autisme, saya beralih kepada aliran pendidikan khas pada tahun 2020.

“Saya kemudiannya melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau dengan menambah opsyen dalam bidang pendidikan khas,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, di sini hari ini.

Menurut Velerie, sepanjang penglibatannya dalam bidang pendidikan khas, beliau telah membangunkan tiga pendekatan berbeza bagi membantu murid-murid berkeperluan khas.

Katanya, pendekatan pertama ialah ‘hope’, iaitu intervensi yang menggabungkan kerjasama antara guru dan ibu bapa bagi memastikan sokongan berterusan di sekolah dan di rumah.

“Pendekatan kedua ialah ‘miracles’ yang menerapkan elemen terapi cara kerja dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

“Manakala pendekatan ketiga, yang merupakan yang terbaharu, dikenali sebagai ‘neuro arts’, iaitu gabungan neurologi, sains dan terapi cara kerja dalam proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Mengulas mengenai keberkesanan pendekatan yang digunakan, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor itu berkata, beliau menyaksikan impak yang luar biasa apabila ada murid yang sebelum ini hanya berkerusi roda kini mampu berlari dan bermain bola sepak.

Malah katanya, anak lelakinya sendiri kini telah boleh membaca dan menguruskan diri sendiri.

“Inilah impak luar biasa yang dihasilkan melalui hope, miracles dan neuro arts. Daripada tidak boleh membaca kepada boleh membaca. Daripada tidak mampu menguruskan diri kepada menguruskan diri,” katanya.-UTUSAN.

Scroll to Top