suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Tuaran: Koleksi pelbagai bahagian haiwan hidupan liar dilindungi yang dikumpul sejak puluhan tahun oleh seorang bekas renjer hutan terbongkar selepas serbuan di sebuah rumah di Kampung Wokok Batangan, di sini, hari ini.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan Cawangan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD).
Komander WCB/PSK Pasukan Gerakan Am JKDNKA, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, serbuan kira-kira jam 7.15 pagi itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan serta rampasan pelbagai bahagian haiwan hidupan liar dilindungi.
“Hasil pemeriksaan menemui 55 pasang tanduk disyaki tanduk rusa, tiga batang sumbu badak dan 330 keping sisik tenggiling.
“Turut dirampas bangkai serta kulit ular sawa, tengkorak disyaki burung enggang, tulang dan gigi gajah, tanduk tambadau, hempedu beruang serta beberapa bahagian haiwan lain,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek memperoleh bahagian haiwan itu dengan membeli daripada penduduk kampung di kawasan pedalaman Sabah selain mengambil mana-mana bahagian haiwan yang ditemui untuk dijadikan koleksi peribadi.
Katanya, aktiviti pengumpulan itu dipercayai bermula ketika suspek berkhidmat sebagai renjer hutan sejak 1986 sebelum bersara pada 2019 atas faktor kesihatan.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM589,230,” katanya.
Mohd Zaki berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) dan Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (Sabah).
Katanya, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada SWD untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




