PM mahu FAM teliti isu kerakyatan tujuh pemain warisan

PM mahu FAM teliti isu kerakyatan tujuh pemain warisan
PM mahu FAM teliti isu kerakyatan tujuh pemain warisan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama hadirin selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara Tahun 2026 (HBN 2026) Peringkat Kebangsaan hari ini. Foto Bernama

ISU membabitkan status kerakyatan tujuh pemain warisan Harimau Malaya perlu dibincangkan terlebih dahulu di peringkat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang keputusan berhubung perkara itu perlu melalui saluran dan prosedur yang ditetapkan dengan FAM sebagai pihak pertama yang perlu menyelesaikan isu berkenaan.

“Biar persatuan bola sepak bincang dulu, kemudian dikemukakan kepada Menteri Dalam Negeri mengikut kuasa biasa,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di Seremban, Negeri Sembilan pada Jumaat.

Kontroversi itu tercetus susulan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada September 2025 yang mendapati wujud unsur pengubahsuaian atau pemalsuan dokumen berkaitan kelayakan tujuh pemain warisan baharu yang menyertai skuad kebangsaan pada 2025.

Facundo Garces (depan) dan Joao Figueredo (kiri) antara tujuh pemain warisan yang dikenakan penggantungan setahun oleh FIFA. Foto: FAM

Facundo Garces (depan) dan Joao Figueredo (kiri) antara tujuh pemain warisan yang dikenakan penggantungan setahun oleh FIFA. Foto: FAM

Susulan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000, manakala setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 serta penggantungan selama 12 bulan.

FAM kemudian mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Oktober 2025 untuk mencabar keputusan berkenaan.

Bagaimanapun, rayuan tersebut ditolak pada Mac tahun ini, dengan mahkamah mengekalkan hukuman FIFA.

Walaupun digantung, pemain terbabit masih dibenarkan menjalani latihan dan kekal bersama kelab masing-masing, namun tidak boleh beraksi dalam perlawanan rasmi sepanjang tempoh penggantungan.

Awal bulan ini, kumpulan penyokong tegar Ultras Malaya melancarkan boikot terhadap pasukan kebangsaan selain mengemukakan tiga tuntutan termasuk pelucutan status kerakyatan kesemua tujuh pemain warisan terbabit.

Malah, Ultras Malaya turut memberi bayangan bahawa tindakan lebih besar akan diambil sekiranya tuntutan itu terus dipandang sepi termasuk kemungkinan memboikot keseluruhan ekosistem Liga Malaysia.

Menurut mereka, langkah itu bukan bermotifkan kebencian, sebaliknya sebagai tekanan bagi memastikan bola sepak negara diurus secara lebih telus, adil dan berintegriti.

Scroll to Top