mahaizura@mediaprima.com.my
MENANAM pokok hiasan dalam rumah bukan lagi trend hiasan dekorasi, sebaliknya menjadi sebahagian daripada gaya hidup sihat.
Ramai pemilik rumah hari ini menyedari kepentingan tanaman hijau dalam rumah dapat membantu mewujudkan persekitaran lebih segar, selesa dan menyenangkan terutama bagi kediaman moden yang banyak bergantung kepada penyaman udara.
Antara tanaman dalaman yang popular ialah ‘Snake Plant’ atau lidah jin yang terkenal kerana ketahanannya. Pokok ini sesuai diletakkan dalam bilik tidur kerana ia melepaskan oksigen pada waktu malam serta tidak memerlukan penjagaan rapi.
‘Spider Plant’ pula sering menjadi pilihan keluarga yang mempunyai anak kecil atau haiwan peliharaan. Tanaman ini tidak beracun, mudah hidup dan membantu mengurangkan bau kurang menyenangkan dalam ruang tertutup.
Bagi mereka yang menginginkan sentuhan hijau lebih rimbun, ‘Weeping Fig’ atau ‘Ficus’ sesuai dijadikan tanaman dalaman.
Daunnya yang lebat membantu meningkatkan kelembapan udara dan memberi kesan visual yang menenangkan terutama di ruang tamu.
‘Peace Lily’ pula dikenali dengan bunganya yang elegan serta kemampuannya menyerap kelembapan berlebihan.
Ia sesuai diletakkan di bilik mandi atau sudut rumah yang kurang cahaya matahari selain membantu mengurangkan bau hapak.
‘Dracaena’ juga sering dipilih untuk kediaman moden kerana bentuknya yang kemas dan kontemporari.
Selain mencantikkan ruang, tanaman ini membantu menapis bahan pencemar ringan dan sesuai diletakkan di ruang keluarga atau pejabat rumah.
Aloe vera pula terkenal dengan fungsinya yang bukan sahaja sebagai tanaman hiasan, malah mempunyai nilai perubatan.
Ia membantu menyerap bau serta pencemaran ringan, manakala gelnya sering digunakan untuk rawatan luka kecil dan masalah kulit.
‘Parlor palm’ pula memberi sentuhan tropika dan lembut kepada ruang dalaman. Tanaman ini membantu meningkatkan kelembapan udara dan sesuai untuk rumah bersaiz kecil kerana tidak memerlukan cahaya matahari langsung.
Secara keseluruhan, tanaman dalaman memberi kesan positif kepada kesihatan mental dan emosi penghuni rumah.
Kehadiran elemen hijau mampu mengurangkan tekanan, meningkatkan fokus serta menjadikan kediaman lebih hidup dan harmoni.
Snake Plant (Lidah Jin / Sansevieria)
Sesuai diletak:
– Bilik tidur
– Ruang kerja
– Sudut rumah kurang cahaya
Fungsi:
Membantu melepaskan oksigen pada waktu malam
– Menjadikan ruang terasa lebih segar
Cara penjagaan:
– Siram satu hingga dua kali seminggu
– Tidak perlu banyak cahaya matahari
– Elak tanah terlalu lembap
Spider Plant
Sesuai diletak:
– Bilik kanak-kanak
– Ruang tamu
– Rak atau pasu gantung
Fungsi:
– Tidak beracun dan selamat
– Membantu mengurangkan bau dalam rumah
Cara penjagaan:
– Suka cahaya sederhana
– Siram apabila tanah mula kering
– Mudah membiak dan cepat hidup
Weeping Fig (Ficus benjamina)
Sesuai diletak:
– Ruang tamu
– Sudut tingkap
– Pejabat rumah
Fungsi:
– Menambah kelembapan udara
– Memberi suasana hijau dan menenangkan
Cara penjagaan:
– Perlukan cahaya tidak langsung
– Siram secara sederhana
– Elak terlalu kerap ubah lokasi pokok
Peace Lily
Sesuai diletak:
– Bilik air
– Sudut redup
– Bilik berpenyaman udara
Fungsi:
– Membantu mengurangkan bau hapak
– Memberi suasana lebih nyaman
Cara penjagaan:
– Suka kawasan lembap
– Siram apabila daun mula layu sedikit
– Tidak tahan cahaya matahari terik
Dracaena
Sesuai diletak:
– Ruang keluarga
– Pejabat
– Apartmen moden
Fungsi:
– Membantu menapis pencemaran ringan
– Menambah elemen dekorasi moden
Cara penjagaan:
– Cahaya sederhana
– Siram sedikit tetapi konsisten
– Elak air bertakung dalam pasu
Aloe Vera
Sesuai diletak:
– Dapur
– Tingkap rumah
– Balkoni berbumbung
Fungsi:
– Gel boleh digunakan untuk luka kecil dan masalah kulit
– Membantu menyerap bau ringan
Cara penjagaan:
– Perlukan cahaya terang
– Siram sedikit sahaja
– Sesuai untuk cuaca panas
Parlor Palm
Sesuai diletak:
– Ruang tamu
– Sudut sofa
– Apartmen kecil
Fungsi:
– Membantu meningkatkan
– kelembapan udara
– Memberi suasana tropika dan tenang
Cara penjagaan:
– Sesuai dalam cahaya rendah
– Siram sederhana
– Lap daun supaya kekal segar dan berkilat
Tip umum:
Pokok dalaman rumah lebih sesuai menggunakan pasu yang mempunyai saliran air bagi mengelakkan akar cepat rosak atau reput.
© New Straits Times Press (M) Bhd




