PARIS Saint-Germain (PSG) dilaporkan mengambil pendekatan luar biasa apabila menjalani sesi latihan ala ragbi sebagai persiapan menghadapi Arsenal dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL).Menurut media Britain, skuad kendalian Luis Enrique itu memberi tumpuan khusus kepada situasi bola mati yang dianggap antara kekuatan utama wakil Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan.Dalam sesi latihan tersebut, staf kejurulatihan PSG menggunakan pad impak seperti dalam sukan ragbi bagi mensimulasikan pertembungan fizikal di kawasan penalti.Penjaga gol turut didedahkan kepada situasi lebih agresif, termasuk cabaran ketika keluar menangkap bola dan menepis hantaran dari sepakan sudut.Langkah itu dipercayai sebagai persediaan rapi untuk menyaingi ancaman Arsenal yang terkenal dengan keupayaan memanfaatkan set piece, selepas meledak 21 gol menerusi situasi bola mati dalam saingan EPL musim ini.Bagaimanapun, pendekatan Arsenal dalam situasi tersebut turut mencuri perhatian apabila beberapa insiden sebelum ini mencetuskan perdebatan, termasuk dakwaan aksi menarik dan mengunci pergerakan pemain lawan dalam kawasan penalti.Kontroversi turut tercetus dalam pertembungan menentang West Ham baru-baru ini apabila satu jaringan dibatalkan selepas pengadil Chris Kavanagh mendapati berlaku halangan terhadap penjaga gol David Raya ketika situasi bola mati.Situasi itu mencetuskan perbincangan hangat di England mengenai sempadan fizikal dalam bola sepak moden, terutama ketika set piece yang semakin menjadi senjata utama pasukan-pasukan elit.PSG bukan satu-satunya kelab yang mencari kaedah alternatif bagi menghadapi cabaran tersebut.Sebelum ini, Brighton turut mencuri perhatian apabila menggunakan khidmat jurulatih seni mempertahankan diri campuran (MMA) untuk meningkatkan ketahanan fizikal pemain dalam situasi bola mati.Bagi Enrique, pendekatan berinspirasikan ragbi bukan perkara baharu, malah beliau sebelum ini dikenali dengan pendekatan taktikal yang menekankan variasi permainan serta analisis dari sudut pandang berbeza termasuk dari tempat duduk penonton.Jika PSG berjaya menewaskan Arsenal, ia bukan sahaja membawa mereka ke pentas final, malah membuka peluang mencipta sejarah memenangi kejuaraan UCL secara berturut-turut.


