Gencatan senjata Israel, Lubnan disambung 45 hari

Gencatan senjata Israel, Lubnan disambung 45 hari

Washington: Israel dan Lubnan bersetuju melanjutkan gencatan senjata selama 45 hari serta mengadakan rundingan lanjut bagi mencapai penyelesaian politik, umum Amerika Syarikat (AS), semalam.

Difahamkan, utusan dari Israel dan kerajaan Lubnan, yang bergelut untuk mengekang Hizbullah, mengadakan pertemuan selama dua hari di Washington dan berkata mereka akan melanjutkan gencatan senjata yang dijadual tamat Ahad ini.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Tommy Pigott berkata, penghentian permusuhan itu dilanjutkan bagi membolehkan kemajuan lanjut dicapai.

“Jabatan Negara akan mengadakan rundingan yang bertujuan mencapai perjanjian politik kekal pada 2 dan 3 Jun, manakala Pentagon akan menghimpunkan delegasi tentera dari kedua-dua negara pada 29 Mei,” katanya.

Israel melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas Lubnan dan menceroboh bahagian selatannya sebagai tindak balas terhadap serangan Hizbullah.

Dalam pada itu, delegasi Lubnan berkata, lanjutan gencatan senjata dan pembukaan rundingan ketenteraan akan memberikan ‘ruang pernafasan kritikal’ kepada rakyat negara itu.

Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam berkata, negaranya sudah cukup dengan pengembaraan melulu yang berkhidmat untuk projek atau kepentingan asing.

Beliau berkata, perang yang tidak dipilih rakyat Lubnan itu menyebabkan Israel menduduki 68 bandar dan kampung.

Difahamkan, beberapa ketika selepas lanjutan gencatan senjata diumumkan, serangan Israel mengenai pusat Jawatankuasa Kesihatan Islam yang mempunyai kaitan dengan Hizbullah di bandar Hanuf.

Israel melancarkan serangan di bandar Tyre selepas mengeluarkan arahan pemindahan, manakala Hizbullah pula berkata, ia menyasarkan berek tentera Israel di bandar Kiryat Shmona menggunakan dron.

Sementara itu, Kementerian kesihatan Lubnan berkata, enam orang maut termasuk tiga paramedik dalam serangan itu.

Jelas kementerian itu lagi, serangan di daerah Tyre turut mencederakan sekurang-kurangnya 37 orang termasuk enam kakitangan hospital, sembilan wanita dan empat kanak-kanak.

Bagaimanapun, menurut pihak berkuasa Lubnan pula, serangan Israel sejak perang tercetus mengorbankan lebih 2,900 orang termasuk lebih 400 sejak gencatan senjata berkuat kuasa.

Tentera Israel turut memaklumkan, seorang lagi tenteranya terbunuh di selatan Lubnan, menjadikan jumlah tenteranya yang maut dalam pertempuran dengan Hizbullah sejak awal Mac kepada 19 orang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top