Isu pemain warisan: Kerajaan ikut Perlembagaan, FIFA tentukan kelayakan – Saifuddin

Isu pemain warisan: Kerajaan ikut Perlembagaan, FIFA tentukan kelayakan – Saifuddin

ALOR SETAR – Kerajaan menjelaskan proses pemberian kerakyatan kepada tujuh pemain warisan Harimau Malaya dilakukan mengikut Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang sedia ada.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, orang ramai perlu memahami bahawa pemberian kewarganegaraan dan kelayakan pemain beraksi bersama skuad kebangsaan dalam pertandingan antarabangsa adalah dua perkara berbeza.

Menurut beliau, kerajaan hanya bertanggungjawab dalam urusan pemberian kewarganegaraan, manakala soal kelayakan mewakili negara tertakluk kepada peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Dalam isu ini ada dua keadaan. Pertama proses pemberian kewarganegaraan dan kedua kelayakan pemain untuk bermain bagi pasukan Malaysia dalam pertandingan anjuran FIFA.

“Apabila proses itu dilakukan, pemberian kewarganegaraan dibuat mengikut tertib yang ditentukan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan. Itu tidak ada isu.

“Apakah status kewarganegaraan itu telah melalui semua kepatuhan yang dikehendaki mengikut Perlembagaan Persekutuan? Jawapannya ya,” katanya pada malam Jumaat.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Makan Malam dan Amanat kepada pasukan Liga Super Imigresen FC di sini.

Saifuddin mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu membincangkan dan meneliti terlebih dahulu tuntutan supaya kerakyatan tujuh pemain warisan ditarik balik.

Menurut Perdana Menteri, perkara itu perlu melalui saluran sewajarnya termasuk penelitian pihak berkaitan sebelum sebarang keputusan dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Jelas Saifuddin Nasution, Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan telah digunakan dalam urusan berkenaan dan setiap permohonan telah memenuhi tiga syarat yang ditetapkan.

Menurutnya, soal kelayakan pemain untuk beraksi bersama Harimau Malaya bukan lagi urusan kerajaan selepas kewarganegaraan diluluskan.

“Kerajaan cuma facilitate proses permohonan kewarganegaraan. Soal kelayakan bermain itu tanggungjawab FIFA.

“Itu yang saya faham daripada kenyataan Perdana Menteri,” ujarnya.

Terdahulu, Ultras Malaya mengemukakan tiga tuntutan termasuk mendesak kerakyatan tujuh pemain warisan ditarik balik.

Kumpulan penyokong itu turut mengumumkan ‘boikot fasa 1’ terhadap skuad kebangsaan berkuat kuasa serta-merta selain mendesak pengurusan Harimau Malaya dikembalikan kepada FAM serta reformasi menyeluruh bola sepak negara.

Scroll to Top