
Khairy (kiri) menerima cenderamata yang disampaikan oleh Md Alwi semasa hadir merasmikan Majlis Kesyukuran Sempena Ulang Tahun UMNO Ke-80 di Tapak Rumah UMNO Ketereh, Kota Bharu pada Sabtu.
KOTA BHARU – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berpandangan UMNO – Barisan Nasional (BN) perlu bertanding secara solo sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan bagi memberi peluang menguji kekuatan parti itu tanpa kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Menurut beliau, situasi di Johor berbeza berbanding kerajaan di peringkat Persekutuan kerana negeri itu ditadbir sepenuhnya oleh UMNO-BN, bukannya kerajaan perpaduan.
“Saya nampak itu peluang terbaik untuk kita uji kekuatan UMNO secara solo. Johor adalah kerajaan UMNO-BN, bukan Kerajaan Perpaduan.
“Dalam konteks Johor, tak timbul soal perlu bergabung dengan PH sebab ia memang kerajaan BN dan Menteri Besarnya juga daripada UMNO,” katanya semasa sidang akhbar semasa hadir merasmikan Majlis Kesyukuran Sempena Ulang Tahun UMNO Ke-80 di Tapak Rumah UMNO Ketereh di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad dan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Md Nor.
Khairy memberitahu, adalah sesuatu yang wajar untuk UMNO-BN mempertahankan kerajaan sedia ada menggunakan tiket sendiri sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
“Johor itu kerajaan UMNO-BN, jadi pertahankanlah sebagai kerajaan UMNO-BN atas tiket Barisan Nasional secara solo.
“Soal apa akan berlaku dalam PRU (Plihan Raya Umum) nanti itu cerita kemudian dan soalan besar yang perlu dijawab kepimpinan tertinggi parti,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan, cadangan itu hanya melibatkan konteks politik Johor dan bukan pendirian rasmi berhubung hala tuju kerjasama UMNO di peringkat nasional.
Dalam perkembangan sama, Khairy mengakui momentum UMNO ketika ini semakin baik, namun parti itu tidak boleh terlalu bergantung kepada kemunculan semula beberapa pemimpin lama untuk menarik sokongan rakyat.
“Kalau semata-mata nak bergantung kepada satu dua pemimpin yang kembali, itu tak cukup.
“Mungkin sehari dua jadi tajuk utama, tetapi selepas itu keadaan kembali biasa. Kalau kita tak kerja kuat, tak meyakinkan pengundi dan tak bawa idea segar, pengundi tidak akan bersama kita,” katanya.



