Carragher geram drama Mac Allister

Carragher geram drama Mac Allister
Carragher geram drama Mac Allister

Tindakan Mac Allister yang berlakon dikasari Ezri Konsa ketika Liverpool ketinggalan 2-1 dianggap memalukan. FOTO: Agensi

BEKAS pemain The Reds, Jamie Carragher meluahkan rasa tidak puas hati terhadap aksi Alexis Mac Allister ketika Liverpool tewas 2-4 kepada Aston Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Villa Park, awal pagi Sabtu.

Perlawanan yang dianggap penting buat skuad Arne Slot itu menyaksikan Liverpool sekali lagi gagal meraih keputusan positif dalam usaha mengukuhkan kedudukan ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.

Namun, tumpuan perbincangan selepas perlawanan terarah kepada insiden pada minit ke-71 melibatkan Mac Allister dan pertahanan Villa, Ezri Konsa.

Dalam situasi di dalam kotak penalti ketika Liverpool ketinggalan 2-1, Mac Allister terlebih dahulu melakukan tolakan ke arah Konsa di bahagian dada.

Konsa kemudian membalas dengan tolakan dan menarik jersi pemain tengah Argentina itu, sebelum Mac Allister terjatuh sambil memegang muka seolah-olah meminta sepakan penalti.

Tindakan tersebut mencetuskan reaksi keras daripada Carragher yang bertugas sebagai pengulas di Sky Sports.

“Dia buat benda itu setiap perlawanan, memalukan! Bangunlah.

“Saya akan rasa malu jika Konsa dilayangkan kad merah kerana situasi itu,” katanya.

Insiden berkenaan turut disemak video bantuan pengadil (VAR) sebelum pengadil memutuskan tiada penalti diberikan.

Pengendali Liverpool, Arne Slot, turut kelihatan tidak berpuas hati dan mengarahkan pemainnya bangun serta meneruskan permainan.

Dalam perlawanan tersebut, Villa membuka jaringan menerusi Morgan Rogers sebelum Virgil van Dijk menyamakan kedudukan.

Ollie Watkins kemudian meledak dua gol untuk meletakkan Villa kembali di hadapan, sebelum John McGinn menambah jaringan.

Liverpool meraih gol kedua lewat permainan menerusi Van Dijk.

Kekalahan itu menyaksikan Liverpool masih belum mengesahkan tempat ke UCL Liga Juara-Juara musim depan.

Skuad Merseyside berkenaan kini bergantung kepada keputusan pasukan lain serta baki satu perlawanan terakhir musim ini.

Villa pula mengesahkan tempat ke saingan elit Eropah itu dan kini mengalihkan fokus kepada final Liga Europa menentang SC Freiburg di Istanbul pada 20 Mei.

Scroll to Top