PETALING JAYA : Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang terus membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila menghadiahkan pingat gangsa kedua buat kem Malaysia pada Piala Trek Jepun 2 di Velodrom Izu, Shizuoka, hari ini.
Atlet yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman itu menamatkan saingan acara pecut individu lelaki di kedudukan ketiga selepas menewaskan pelumba Australia, Tayte Ryan 2-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.
Kejayaan tersebut hadir sehari selepas Azizulhasni terlebih dahulu meraih gangsa dalam acara keirin Siri Pertama, sekali gus mengukuhkan prestasi konsistennya di bumi Jepun.
Pingat emas acara pecut individu menjadi milik pelumba tuan rumah, Kaiya Ota selepas menundukkan rakan senegaranya, Shiji Nakano 2-0 pada aksi final.
Terdahulu, perjalanan Azizulhasni ke pentas akhir tersekat di separuh akhir apabila dia terpaksa akur dengan kehebatan Ota yang menang selesa 2-0.
Sementara itu, satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan Nakano menempah slot ke final selepas menewaskan Ryan dengan keputusan sama.
Dalam perkembangan lain, seorang lagi wakil negara, Shah Firdaus Sahrom gagal meneruskan cabaran selepas terkandas sebelum saingan suku akhir apabila tewas kepada Nakano.
Saingan wanita pula tidak memihak kepada Malaysia apabila Nurul Izzah Izzati Asri serta Nur Alyssa Farid turut gagal mara ke suku akhir selepas tewas kepada lawan masing-masing.
Nurul Izzah tunduk kepada Wang Lijuan dari China, manakala Nur Alyssa gagal mengekang cabaran pelumba Jepun, Haruka Nakazawa.
Azizulhasni dan Shah Firdaus bagaimanapun masih belum menutup tirai saingan di Shizuoka apabila dijadual kembali ke gelanggang esok bagi mengharungi acara keirin Piala Trek Jepun 2.-UTUSAN




