Sibu: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru parti-parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus bersatu mempertahankan hak negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta memastikan kestabilan politik dan kemajuan ekonomi Sarawak terus terpelihara.
Berucap ketika merasmikan Perhimpunan Agung Parti Demokratik Progresif (PDP) 2026 di sini, beliau berkata, perpaduan politik Sarawak membolehkan negeri itu memainkan peranan penting dalam menentukan kepimpinan negara ketika berlakunya ketidaktentuan politik di peringkat Persekutuan.
“Apabila politik tidak stabil, komponen yang bersatu akan menentukan masa depan Malaysia. Jika suara Sarawak mahu didengari, Sarawak mesti terus bersatu,” katanya.
Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata parti-parti komponen gabungan itu sentiasa mengutamakan kepentingan Sarawak serta terus memperjuangkan perkara yang dipersetujui di bawah MA63.
“Kita tidak mahu lebih, tidak mahu kurang, yang kita mahu adalah apa yang telah dipersetujui oleh nenek moyang kita dipatuhi,” katanya.
Beliau berkata, pentadbiran Sarawak yang kukuh dan stabil turut membolehkan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan jangka panjang, termasuk pendidikan tinggi percuma, peluasan tenaga boleh baharu, transformasi digital serta pembangunan hidrogen.
Abang Johari berkata, kedudukan fiskal Sarawak yang kukuh telah membolehkan negeri itu memperkenalkan dasar berpaksikan rakyat, termasuk pendidikan tinggi percuma untuk pelajar Sarawak di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.
“Hari ini, selagi anak-anak anda memasuki universiti, tiada lagi masalah kewangan. Anda tidak perlu bayar kerana GPS yang menanggungnya,” katanya.
Mengenai pembangunan masa depan, Premier berkata, Sarawak kini memberi tumpuan kepada sektor baharu seperti tenaga hidrogen, aeroangkasa, kecerdasan buatan (AI), teknologi satelit serta ekonomi digital bagi menyediakan generasi muda menghadapi industri masa depan.
“Masa depan Sarawak jelas. Dasar kita juga sudah ada. Kita mesti menyediakan generasi muda kita untuk masa depan yang lebih baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




