Isu pengampunan Jho Low tidak berbangkit – Anwar

Isu pengampunan Jho Low tidak berbangkit – Anwar
Isu pengampunan Jho Low tidak berbangkit – Anwar

Anwar (kiri) dan Jho Low.

IPOH – Kerajaan tidak akan memberikan sebarang tumpuan berkaitan isu pengampunan melibatkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang pengampunan melibatkan individu berkenaan tidak sepatunya menjadi isu di sebalik jenayah dilakukan.

Beliau turut menjelaskan kenyataannya berhubung isu Jho Low yang sebelum ini disalah tafsir sesetengah pihak.

“Tapi menimbulkan kekeliruan ini soal Jho Low yang saya katakan tak berbangkit bukan bermakna tiada isu. Saya kata kerana kita tak pertimbangkan sama sekali kalau dia memohon pengampunan.

“Terlibat dalam kecurangan, jenayah dan menyebabkan kerugian berbilion ringgit takkan nak mohon pengampunan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Pertemuan dan Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor kecil Bumiputera di Dewan Serbaguna Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini pada Sabtu.

Sebelum ini media melaporkan Jho Low sedang mengemukakan permohonan pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu.

Memetik laporan Wall Street Journal (WSJ) pada Selasa, permohonan itu difailkan dalam tempoh beberapa minggu lalu, mengikut sumber yang mempunyai maklumat mengenai perkara berkenaan.

Jika permohonan itu diluluskan, ia akan menggugurkan semua pertuduhan jenayah yang dihadapi Jho Low di AS.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa laman web Jabatan Keadilan (DOJ) AS menyenaraikan satu permintaan yang masih dalam proses di bawah nama Taek Jho Low.

Menurut laporan itu, butiran permohonan itu dikategorikan sebagai “Pengampunan Selepas Tamat Tempoh Hukuman” (Pardon after Completion of Sentence) yang difailkan tahun ini.

Jho Low menjadi individu yang paling dikehendaki susulan dakwaan peranannya sebagai dalang utama dalam skandal penyelewengan dana berbilion ringgit milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), syarikat pelaburan strategik milik kerajaan Malaysia.

 

Scroll to Top