JOHOR BAHRU: Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang secara tidak langsung membantu Pakatan Harapan (PH) menetapkan hala tuju gabungan politik itu.
Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kenyataan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi itu sekali gus menjawab segala spekulasi sama ada BN dan PH akan menjalinkan kerjasama atau sebaliknya.
Menurut beliau, PH Johor sebelum ini banyak kali ‘menghulurkan tangan’ kepada BN untuk mengadakan perbincangan mengenai kerjasama bagi menghadapi PRN namun tidak dilayan.
“Kenyataan petang ini memberikan isyarat yang sangat jelas kepada kami. Mereka telah memutuskan untuk bertanding di semua kerusi.
“Bagi kami itu tidak menjadi masalah kerana setiap pihak bebas membuat keputusan sendiri, tetapi ia sebenarnya membantu kami menetapkan hala tuju sewaktu Konvensyen PH esok,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ahli Amanah di sebuah restoran di Taman Universiti, di sini hari ini.
Onn Hafiz menerusi hantaran di Facebook rasminya sebelum ini mengatakan, BN akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN dalam pilihan raya akan datang.
Dzulkefly yang juga bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri memaklumkan, PH Johor akan mengemukakan petisyen bagi mendesak bilangan kerusi DUN di negeri ini ditambah menjelang PRN yang akan datang.
Jelasnya, langkah persempadanan semula itu dilihat perlu memandangkan terdapat enam kerusi DUN yang kini mempunyai lebih 100,000 pengundi.
“Kali terakhir proses persempadanan semula dilakukan adalah lapan tahun lalu. Jadi, sudah tiba masanya perkara ini dilaksanakan semula. Kami melihat langkah ini jauh lebih baik berbanding melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
“Sehubungan itu, kami memutuskan untuk mengemukakan petisyen tersebut yang akan diumumkan secara rasmi pada Konvensyen PH esok,” ujarnya.
Dzulkefly berkata demikian merujuk keputusan persidangan DUN Johor baru-baru ini yang meluluskan cadangan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan pelantikan lima ADUN lantikan tanpa melalui proses pilihan raya.




