Kuala Lumpur : Memandangkan Malaysia sentiasa menjadi antara pasaran sumber utama di bawah Dasar Pandang ke Selatan Baharu, Tourism Administration, MOTC kini bergerak agresif untuk merebut peluang pasaran pelancongan di negara ini.
Langkah ini diambil berikutan permintaan pelancongan ke luar negara dalam kalangan rakyat Malaysia yang terus meningkat pesat, didorong oleh kadar pertumbuhan KDNK yang mencecah 5.2 peratus pada tahun lalu serta kemudahan pelbagai pilihan penerbangan terus ke Taiwan.
Bagi mengukuhkan kedudukan strategik untuk separuh kedua tahun 2026 dan musim cuti perayaan yang bakal tiba, sebuah delegasi peringkat tinggi Pelancongan Taiwan yang terdiri daripada 29 organisasi dan 64 wakil industri telah dibentuk.
Misi promosi ‘berangkai’ yang bermula dari 13 hingga 20 Mei ini menyasarkan dua bandar utama iaitu Pulau Pinang dan Kuala Lumpur menerusi penganjuran Pameran Pelancongan Taiwan serta Sesi Taklimat Produk Pelancongan B2B.
Aktiviti promosi bermula di Pulau Pinang pada sejak semalam hingga esok menerusi penganjuran pameran berskala besar di Queensbay Mall.
Membawa identiti jenama “Taiwan—Waves of Wonder”, acara itu berjaya menarik kehadiran luar biasa lebih 10,000 pengunjung.
Suasana pameran dimeriahkan dengan kehadiran maskot gergasi “OhBear”, instalasi Belon Udara Panas Taitung, serta persembahan bertenaga daripada kumpulan muzik “Liu-Sheng-Ji” dan kumpulan tarian akrobatik “Flying Space”.
Turut membuat penampilan istimewa adalah pempengaruh (KOL) popular Malaysia, LizQin dan Cayeeloh yang berkongsi pengalaman peribadi mereka menerokai keindahan Taiwan yang sentiasa “meriah siang dan malam.”
Delegasi berkenaan akan meneruskan misinya pada 19 Mei ini di The Westin Kuala Lumpur dengan menganjurkan dua Sesi Taklimat Produk Pelancongan B2B khusus untuk pasaran Muslim dan pengusaha pelancongan pasaran Cina.
Memandangkan populasi Muslim merangkumi hampir 70 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia, Taiwan kini menggandakan usaha menembusi segmen ini dengan mengetengahkan kejayaannya menduduki tangga keempat dalam kalangan destinasi bukan OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2025.
Bagi pasaran Cina Malaysia pula, tumpuan akan diberikan kepada segmen premium dan pelancong berulang melalui penyediaan jadual perjalanan terpilih (curated itineraries) yang berkualiti tinggi.
Sementara itu, sesi di Kuala Lumpur dijangka menghimpunkan lebih 100 penggiat industri tempatan dan bakal memudah cara sebanyak 5,000 sesi padanan perniagaan demi memperkukuh rantaian bekalan pelancongan antara kedua-dua negara.
Pengarah Taiwan Tourism Administration (Pejabat KL), Mr. Abe Chou berkata, pasaran Malaysia akan terus didekati melalui pemasaran KOL bagi mempromosikan kepelbagaian tema pelancongan Taiwan daripada kulinari antarabangsa sehinggalah keindahan alam semula jadi.
“Taiwan juga akan memanfaatkan filem komedi romantik dan rancangan varieti berorientasikan keluarga untuk memperkukuh imejnya sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim.
“Dengan memenuhi keperluan segmen pelancong yang berbeza secara tepat, matlamat kami adalah memastikan Taiwan kekal menjadi pilihan utama serta destinasi kunjungan berulang yang digemari oleh pelancong Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




