Kuala Lumpur: Bank Rakyat menawarkan pakej pembiayaan eksklusif untuk pemilikan kenderaan elektrik bateri (BEV), kenderaan hibrid elektrik (HEV), kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) dan lain-lain kenderaan hibrid seperti kenderaan elektrik hibrid ringan (MHEV) baharu.
Dalam kenyataan hari ini, Bank Rakyat memaklumkan pakej pembiayaan eksklusif tersebut juga menawarkan kadar keuntungan tetap serendah 1.88 peratus setahun iaitu paling kompetitif dan terendah di pasaran ketika ini.
“Langkah strategik ini sebahagian daripada komitmen berterusan bank dalam membantu masyarakat menghadapi kesan perubahan persekitaran ekonomi yang mencabar termasuk ketidaktentuan bekalan tenaga, selain menyokong agenda kelestarian negara, menggalakkan penggunaan mobiliti hijau di Malaysia serta memperluaskan akses masyarakat kepada pengangkutan mampan.
“Pakej pembiayaan istimewa ini direka khusus untuk memudahkan masyarakat Malaysia beralih kepada kenderaan mesra alam dengan komitmen kewangan yang lebih ringan,” menurut Bank Rakyat.
Tawaran tersebut terbuka kepada semua warganegara Malaysia, termasuk kakitangan sektor awam, swasta serta individu yang bekerja sendiri.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengunjungi mana-mana Pusat Pembiayaan Auto (AFC) atau cawangan Bank Rakyat berdekatan, melayari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my atau hubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di talian 1-300-80-5454.
Terdahulu, Bank Rakyat antara institusi kewangan terawal yang menyediakan kemudahan pengecas EV di premisnya dengan 20 kemudahan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di Menara Berkembar Bank Rakyat, Jalan Rakyat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




