JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) Johor sudah menjangkakan keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding secara solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Dalam kenyataan bersama pimpinan PH Johor terdiri daripada Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching, PH Johor menegaskan mereka sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan politik di negeri ini.
“Dalam sebuah demokrasi matang, parti politik bebas membuat keputusan sama ada untuk bekerjasama atau berlawan dengan mana-mana pihak. Justeru, Pakatan Harapan Johor menghormati keputusan BN Johor untuk bertanding solo di semua 56 kerusi DUN.
“Kami telah menjangkakan kemungkinan ini dan kami sememangnya telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri secara demokratik, matang dan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, PH Johor turut mengingatkan bahawa pembangunan dan kestabilan Johor ketika ini bukan dicapai secara bersendirian, sebaliknya melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan di bawah Kerajaan Perpaduan.
“Antara contoh jelas ialah usaha menangani kesesakan di Bangunan Sultan Iskandar (CIQ) dan Tambak Johor yang melibatkan kerjasama pelbagai kementerian Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Selain itu, projek perkhidmatan ETS ke Johor Bahru, pelbagai pelaburan strategik yang dibawa masuk melalui MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) dan agensi Persekutuan, pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), serta penambahbaikan kemudahan awam dan infrastruktur negeri juga lahir daripada hubungan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” ujarnya.
Justeru menurut kenyataan itu, apabila BN Johor membuat keputusan bertanding solo, rakyat berhak mempersoalkan sama ada BN sebenarnya hanya mahu mengambil manfaat politik daripada hasil kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, tetapi dalam masa sama memilih untuk menjarakkan diri apabila tiba musim pilihan raya.
“Apa pun, Pakatan Harapan Johor mengambil maklum pendirian yang dinyatakan secara terbuka oleh BN Johor ini.
“Sekurang-kurangnya BN Johor menyatakan pendirian mereka lebih awal untuk memasuki medan pilihan raya secara bersendirian, tidak seperti di Negeri Sembilan baru-baru ini,” tambah kenyaatan itu lagi.
PH Johor turut memaklumkan pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama pimpinan pusat bagi menentukan langkah seterusnya menghadapi PRN Johor.
BN Johor pada Sabtu mengesahkan akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN yang dijangka tidak lama lagi.
Perkembangan itu diumumkan Pengerusi BN Johor yang juga Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi satu hantaran di Facebook rasminya.



