MCA sokong langkah BN tanding solo pada PRN Johor

MCA sokong langkah BN tanding solo pada PRN Johor

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: MCA menyokong dan menyifatkan keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang adalah langkah terbaik.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, MCA yang juga satu daripada parti komponen dalam BN turut memberi sokongan sepenuhnya kepada kepemimpinan Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi BN negeri itu, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Katanya, Onn Hafiz berjaya memimpin BN Johor dan mentadbir negeri itu dengan sangat cemerlang.

“Keputusan Pengerusi BN Johor yang juga Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk BN bergerak solo dengan bertanding di semua 56 kerusi dalam PRN Johor nanti adalah satu keputusan terbaik dan disokong sepenuhnya.

“MCA sebagai parti komponen yang turut bermusyawarah dalam mencapai konsensus ini berdiri teguh serta menyokong sepenuhnya kepimpinan Datuk Onn Hafiz yang terbukti berjaya memimpin BN Johor dengan baik dan mentadbir negeri Johor dengan sangat cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Beliau yang juga Timbalan Presiden BN turut memaklumkan MCA sudah membuat pelbagai persediaan termasuk daripada aspek jentera dan merangka strategi berkesan bagi memastikan BN mempertahankan kemenangan besar Johor pada PRN nanti.

Terdahulu, Onn Hafiz hari ini mengesahkan BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil maklum pandangan, suara dan harapan rakyat dan kepimpinan akar umbi UMNO dan BN Johor.

Penggal pentadbiran kerajaan negeri Johor dijadualkan berakhir April 2027.

Pada PRN 2022, BN memenangi 40 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) menang 12 kerusi, Perikatan Nasional (3) dan MUDA (1).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top