am@hmetro.com.my
Port Dickson: Harian Metro bersama syarikat insurans serantau, Tune Protect Group Berhad (Tune Protect) terus memperkukuh komitmen jangka panjang terhadap pemuliharaan alam sekitar melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Hutan Simpan Paya Laut, baru-baru ini.
Program Penanaman Bakau itu memberi tumpuan kepada aktiviti menanam 250 anak pokok bakau sebagai langkah proaktif memelihara ekosistem pesisir pantai serta mengurangkan impak hakisan tanah.
Inisiatif murni ini dijayakan 50 sukarelawan terdiri 40 wakil Tune Protect dan 10 wakil Harian Metro.
Program kali ini kesinambungan kepada usaha hijau kedua-dua organisasi yang sebelum ini pernah dilaksanakan di Pantai Bumi Hijau pada tahun lalu.
Bagi menyokong usaha pendokumentasian dan pemantauan jangka panjang, setiap peserta dan sukarelawan yang terbabit diwajibkan mendaftar serta memuat naik gambar swafoto atau gambar bersama anak pokok yang ditanam melalui pautan khas yang disediakan oleh Jabatan Perhutanan.
Langkah ini penting bagi memastikan setiap pokok yang ditanam direkodkan secara rasmi di bawah inisiatif penghijauan negara.
Program kehijauan ini turut mendapat sokongan padu dan kerjasama erat daripada pelbagai agensi kerajaan negeri serta tempatan termasuk Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Selain memfokuskan kepada agenda hijau, Tune Protect turut menyampaikan sumbangan Kotak Rezeki berisi barangan keperluan asas kepada Persatuan Kebajikan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan sebagai tanda penghargaan atas dedikasi mereka memelihara khazanah hutan negeri.
Pada masa sama, Tune Protect turut mengambil inisiatif menyumbangkan sebuah televisyen pintar (smart TV) kepada Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Si Rusa. Sumbangan bertujuan menyokong usaha digitalisasi pendidikan sekolah berkenaan, sekali gus menyediakan peranti bantuan mengajar yang lebih interaktif dan kondusif demi perkembangan akademik murid di kawasan Port Dickson.
Program diserikan dengan kehadiran wakil Tune Protect iaitu Ketua Pegawai Operasinya, Yuvasreetharan Muregesu dan Pengarang Kumpulan, Harian Metro Husain Jahit dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan Mohd Yussainy Md Yusop dan Pengerusi Silvikultur dan Perlindungan Hutan, Noor Syuhada Abdul Samad.
Hadir sama Pengarang Eksekutif (Kandungan), Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad dan Pengarang Berita Kanan Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Ab Aziz.
Mengulas mengenai kolaborasi berterusan ini, Hussain menzahirkan penghargaan mendalam terhadap komitmen tidak berbelah bahagi Tune Protect menjayakan pelbagai agenda kemasyarakatan dan kelestarian sejak beberapa tahun lalu.
“Kerjasama strategik antara Harian Metro dan Tune Protect yang terjalin sejak tahun 2023 adalah bukti nyata bahawa sinergi antara organisasi media dan sektor korporat mampu memberikan impak positif yang sangat besar kepada masyarakat dan alam sekitar.
“Hubungan ini bermula dengan program gotong-royong memasak bubur lambuk sempena Ramadan, diikuti dengan inisiatif kebajikan menyantuni pesakit kanak-kanak di Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM dan kini diteruskan dengan program penghijauan bumi. Portfolio kerjasama yang semakin berkembang ini mencerminkan keselarasan visi kami untuk sentiasa membawa manfaat kepada komuniti,” katanya.
Beliau menambah aktiviti penanaman pokok bakau bukan sekadar satu program sekali-sekala, tetapi merupakan simbol tanggungjawab bersama untuk memelihara khazanah alam demi generasi masa hadapan.
Sementara itu Ketua Pegawai Strategi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian Tune Protect, Koot Chiew Ling berkata, program penanaman pokok bakau itu kali kedua kerjasama antara Tune Protect dan Harian Metro, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan syarikat memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar secara menyeluruh dan berimpak tinggi.
“Melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat ini, kami bukan sahaja menumpukan kepada pemulihan ekosistem, malah memperkasa pendidikan alam sekitar secara langsung kepada kakitangan Tune Protect terutamanya dikalangan kakitangan generasi muda agar lebih memahami peranan mereka sebagai penjaga alam. Kesedaran yang dipupuk hari ini akan membentuk tindakan yang lebih bertanggungjawab pada masa hadapan.
“Kami percaya bahawa sinergi antara sektor swasta, pihak media, agensi kerajaan dan komuniti adalah kunci kepada kejayaan usaha kelestarian. Setiap pokok yang ditanam hari ini melambangkan pelaburan jangka panjang, bukan sahaja untuk pemuliharaan biodiversiti tetapi juga untuk kesejahteraan generasi akan datang. Tune Protect komited untuk terus memainkan peranan aktif dalam inisiatif yang membawa perubahan positif dan mampan kepada alam sekitar serta masyarakat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




