London: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola menegaskan pemainnya tidak dibenarkan meraikan kemenangan Piala FA selepas menewaskan Chelsea 1-0 di Wembley, malam tadi.
Gol tunggal Antoine Semenyo pada minit ke-72 memastikan City menjulang trofi Piala FA buat kali kelapan dalam sejarah kelab.
Kejayaan itu hadir selepas City tewas dalam dua final sebelum ini kepada Manchester United dan Crystal Palace.
“Trofi ini sangat istimewa kerana tradisinya. Selepas dua kekalahan di final, dapat pulang ke Manchester sebagai juara memang sesuatu yang menggembirakan,” kata Guardiola.
Ketika ditanya sama ada pemain dibenarkan meraikan kemenangan itu, Guardiola menjawab ringkas.
“Tidak, semua balik rumah. Tidak ada walaupun satu minuman keras.
“Selepas perlawanan menentang Aston Villa Isnin nanti, kami akan meraikannya bersama pasukan wanita,” katanya.
City masih mempunyai peluang memburu kejuaraan treble domestik selepas menjuarai Piala Liga Inggeris pada Mac lalu.
Mereka kini hanya ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Arsenal dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan baki dua perlawanan.
Arsenal akan melayan kunjungan Burnley esok manakala City bertandang ke gelanggang Bournemouth sehari kemudian.
Pada aksi terakhir musim 24 Mei nanti, Arsenal menentang Crystal Palace sementara City menerima kunjungan Aston Villa.
City turut mengumumkan perarakan bas terbuka pada 25 Mei bagi meraikan kejayaan pasukan lelaki, wanita dan akademi mereka.
Guardiola turut memuji impak Semenyo serta Marc Guehi yang menyertai kelab itu pada jendela perpindahan Januari lalu.
“Impak mereka sangat besar. Biasanya dia akan menghantar bola kepada Erling Haaland tetapi kali ini Haaland pula yang membantu golnya.
“Dia mempunyai naluri jaringan dan penyudah yang baik,” tambahnya.
Pengendali dari Sepanyol itu juga memberikan penghargaan kepada John Stones dan Bernardo Silva yang dijangka meninggalkan kelab.
“Tiada kata yang cukup untuk menggambarkan penghargaan saya terhadap mereka di dalam dan luar padang.
“Bernardo adalah pemain luar biasa, jarang cedera dan mampu bermain di semua posisi dengan penuh kompetitif,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




