BINTANG sensasi Al-Nassr, Cristiano Ronaldo sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas bertindak enggan menerima pingat naib juara sebaik sahaja pasukannya tewas kepada Gamba Osaka pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara AFC 2.
Dalam perlawanan itu, Al-Nassr yang merupakan antara pasukan pilihan terpaksa akur selepas tumpas 0-1 hasil jaringan tunggal Deniz Hummet.
Sejurus wisel penamat dibunyikan, pemenang lima kali Ballon d’Or itu dilihat terus ‘menghilangkan diri’ dengan berjalan pantas menuju ke terowong pemain, meninggalkan rakan sepasukannya di padang.
Ronaldo tidak kembali ke padang ketika pengendali Al-Nassr, Jorge Jesus mengetuai barisan pemain lain untuk naik ke podium bagi menerima pingat perak masing-masing.
Tindakan bekas penyerang Manchester United dan Real Madrid itu jelas mencuri tumpuan ramai lebih-lebih lagi beliau dilihat tidak mampu menyembunyikan rasa kecewa selepas gagal membantu pasukannya menjulang trofi kedua Asia itu.
Bagaimanapun, Ronaldo dan Al-Nassr kini perlu segera melupakan kekecewaan tersebut kerana misi utama bagi memburu gelaran Liga Pro Saudi masih berbaki satu perlawanan lagi.
Al-Nassr kini mendahului saingan liga dengan kelebihan dua mata di depan musuh ketat, Al-Hilal. Jika mereka berjaya menundukkan Damac dalam aksi terakhir nanti, ia akan menjadi gelaran liga pertama buat Ronaldo sejak berhijrah ke Arab Saudi pada 2023.
Sebelum ini, Al-Nassr terlepas peluang keemasan untuk mengesahkan kejuaraan lebih awal apabila sekadar seri 1-1 menentang Al-Hilal pada Selasa lalu, susulan kesilapan penjaga gol, Bento pada masa kecederaan.
Mengulas mengenai situasi sukar itu, Jorge Jesus tetap optimis dengan peluang anak buahnya.
“Sukar untuk menerima hakikat kehilangan peluang meraikan kejuaraan hari ini disebabkan insiden pada saat akhir permainan, tetapi kita masih ada satu lagi perlawanan di stadium sendiri. Kita ada peluang kedua untuk menjadi juara,” ujar Jesus.
Tambah beliau, sokongan padu daripada penyokong di Al-Awwal Park akan menjadi tonik terbaik bagi memastikan Al-Nassr bangkit dan meraikan kejuaraan liga yang sangat dinanti-nantikan itu.



