Gagasan Rakyat lulus sebulat suara pindaan struktur parti kepada 26 bahagian -Hajiji

Gagasan Rakyat lulus sebulat suara pindaan struktur parti kepada 26 bahagian -Hajiji
Gagasan Rakyat lulus sebulat suara pindaan struktur parti kepada 26 bahagian -Hajiji

Hajiji dalam sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat di SICC, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan bahawa usul pindaan struktur bahagian parti daripada 74 kepada 26 bahagian menggunakan pendekatan berasaskan struktur Parlimen telah diluluskan sebulat suara dalam Persidangan Agung Khas parti yang diadakan pada Ahad.

Hajiji yang juga Ketua Menteri berkata, pindaan perlembagaan tersebut akan dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk mendapatkan kelulusan rasmi.

“Alhamdulillah, syukur. Pindaan perlembagaan parti telah selesai dan mendapat sokongan sebulat suara.

“Ini bermakna cadangan untuk menstrukturkan semula daripada 74 bahagian kepada 26 bahagian telah diluluskan dan akan dikemukakan kepada RoS untuk kelulusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri persidangan berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Tambahnya, semua usul yang dibentangkan turut mendapat sokongan penuh daripada pembahas termasuk sayap Wanita, Pemuda, Beliawanis dan juga kaum bapa, sekali gus mencerminkan kesepakatan dalam parti.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Hajiji berkata, perkara itu turut diberi perhatian dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti, termasuk usaha memperkemas jentera mengikut struktur bahagian Parlimen.

“Kita juga bersedia menghadapi pilihan raya akan datang. Strategi parti serta pengemasan jentera akan dibuat mengikut kawasan Parlimen. Ini selaras dengan pindaan yang kita laksanakan,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan parti lain, beliau yang juga Presiden gabungan tersebut berkata, pendekatan politik perlu dilihat secara terbuka dan luas demi kepentingan rakyat serta negeri.

“Dalam politik, kita mesti melihat secara seluas-luasnya. Jika sesuatu kerjasama itu membawa kebaikan kepada negeri dan perpaduan rakyat, tiada salahnya. Matlamat kita adalah untuk bersatu padu dan membangunkan Sabah,” katanya.

 

 

Scroll to Top