Pemandu lori, pembantu kedai makan disebat empat kali laku persediaan persetubuhan haram

Pemandu lori, pembantu kedai makan disebat empat kali laku persediaan persetubuhan haram

KUALA TERENGGANU: Seorang pemandu lori bersama pasangannya yang merupakan pembantu kedai makan masing-masing dijatuhi hukuman empat sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, di sini atas kesalahan melakukan persediaan bagi persetubuhan luar nikah.

Muhammad Syahmi Faris Latif, 24, dan Hafiqah Qurratu Aini Azlan, 22, dijatuhkan hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Hakim Syarie Nik Mohd. Shahril Mat Yusof.

Hukuman sebat tersebut diarah dilaksanakan di Penjara Marang pukul 10 pagi pada 7 Jun ini selepas berakhirnya 14 hari tempoh rayuan. Sementara menunggu tempoh hukuman, kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM1,000 dan seorang penjamin.

Berdasarkan pertuduhan, Muhamamd Syahmi Faris dan Hafiqah Qurratu Aini didakwa melakukan persediaan bagi persetubuhan luar nikah di dalam sebuah kereta Proton Wira.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di belakang sebuah pejabat agensi kerajaan di pekan Marang pada pukul 10.45 malam, 4 Disember 2025. 

Mengikut fakta kes, sewaktu serbuan dilakukan anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), kedua-dua tertuduh didapati berada di dalam keadaan mencurigakan di tempat duduk belakang kereta berkenaan.

Sewaktu ditahan, Muhamamad Syahmi Faris dan Hafiqah Qurratu Aini didapati dalam keadaan tidak lengkap berpakaian. Mereka didakwa mengikut Seksyen 29  Enakmen Kesalahan Jenazah Takzir Terengganu 2001 (Pindaan 2022) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau sebatan maksimum enam kali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Muhamamad Syahmi Faris dan Hafiqah Qurratu Aini yang masing-masing menetap di Tembakang dan Medan Jaya, Marang dalam rayuan mereka lebih rela dikenakan hukuman sebatan syariah berbanding meringkuk ke dalam penjara. – UTUSAN

Scroll to Top