PETALING JAYA – Politik negara perlu kembali kepada asas dengan membawa naratif harapan dan perjuangan berprinsip, bukannya bersandarkan ketakutan serta perebutan kuasa semata-mata.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, keadaan politik semasa ketika ini menyebabkan ramai rakyat terutama golongan muda semakin hilang keyakinan terhadap sistem politik dan demokrasi negara.
“Jika dulu PH bercakap tentang harapan, kini PH mula memainkan sentimen ketakutan.
” Di bandar, dibisik jika tidak undi PH, PAS akan menang,” katanya ketika menyampaikan ucapan pengumuman hala tuju politiknya di Petaling Jaya pada Ahad.
Beliau berkata, keadaan itu dibimbangi akan menyebabkan generasi muda mula percaya bahawa perubahan parti politik tidak lagi mampu membawa perubahan sebenar kepada negara.
“Mereka akan mula percaya bahawa walaupun parti politik berubah, politik tidak boleh bawa perubahan yang sebenar. Kita tidak mahu anak muda bersikap sinis pada politik,” ujarnya lagi.
Nik Nazmi berkata, politik juga tidak seharusnya dilihat sekadar medan perebutan kuasa, jawatan dan harta yang hanya menguntungkan kelompok tertentu.
Justeru, beliau menegaskan Malaysia memerlukan pendekatan politik yang kembali kepada asas dengan menekankan soal khidmat, kejujuran dan keyakinan rakyat berteraskan kejujuran, sekali gus bukan kedudukan dan kepentingan.
Nik Nazmi turut menegaskan, perjuangan reformasi dan perubahan negara juga tidak boleh terhenti hanya kerana rasa kecewa terhadap sistem politik sedia ada.
“Perjuangan ini mesti diteruskan bersama-sama generasi baharu.
Perjuangan ini mestilah bersandarkan impian dan cita-cita, bukan ketakutan dan kebencian,” kongsinya.
Dalam perkembangan sama, beliau melihat landskap politik negara ketika ini masih didominasi generasi lama sehingga suara anak muda semakin terpinggir walaupun golongan tersebut mewakili sebahagian besar rakyat Malaysia.
“Melihat kepada sejarah, kita diajar ruang sihat mesti diberi kepada peralihan generasi di dalam kepimpinan,” katanya.



