Restoran bertaraf Michelin didakwa hias pencuci mulut dengan semut

Restoran bertaraf Michelin didakwa hias pencuci mulut dengan semut

Seoul: Sebuah restoran bertaraf Michelin di Seoul didakwa selepas didapati menghidangkan menu yang mengandungi semut yang tidak diluluskan untuk dimakan manusia di bawah undang-undang Korea Selatan.

Agensi melaporkan gambar yang diedarkan oleh Kementerian Keselamatan Makanan dan Ubat menunjukkan produk semut kering yang didakwa digunakan sebuah restoran tempatan.

Pendakwa raya berkata pemilik restoran itu mengimport semut kering dari Amerika Syarikat dan Thailand sejak 2021 dan menggunakannya dalam beberapa menu selama empat tahun, menurut laporan media tempatan pada Sabtu.

Korea Selatan hanya membenarkan 10 spesies serangga untuk dimakan dan semut bukan salah satu daripadanya.

Penyiasat menganggarkan restoran itu menjual kira-kira 12,000 hidangan mengandungi semut dengan hasil pendapatan sekitar 120 juta won (RM316,483).

Kes itu bermula apabila pegawai Kementerian Keselamatan Makanan dan Ubat menemui hantaran dalam talian serta ulasan blog yang menunjukkan pelanggan dihidangkan makanan dihiasi semut.

Ia digunakan dalam pencuci mulut berasaskan sikhye (minuman beras manis tradisional Korea), dengan semut ditabur di atas serbat mengikut permintaan pelanggan.

Pendakwa raya turut mendakwa tahap logam berat yang dikesan dalam semut itu sehingga 55 kali lebih tinggi berbanding serangga lain yang dibenarkan sebagai makanan.

Susulan siasatan, kementerian itu merujuk kes berkenaan kepada pihak pendakwa raya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top