KUALA LUMPUR: Negeri Sembilan mengesahkan status sebagai kuasa baharu hoki wanita tempatan apabila menjuarai Piala Vivian May Soars 2026 selepas menundukkan Territory Stingers 5-2 pada aksi final di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Kemenangan itu sekali gus melengkapkan musim gemilang Negeri Sembilan yang sebelum ini turut merangkul Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia (Wanita) 2026.
Skuad bimbingan Negeri Sembilan mempamerkan aksi cukup dominan sejak awal permainan apabila menguasai hampir keseluruhan separuh masa pertama untuk mendahului 3-0.
Nur Afiqah Syahzani membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-15 sebelum Raja Norsharina Raja Shabuddin menambah gol kedua 12 minit kemudian.
Nur Amirah Shakirah terus melebarkan jurang buat Negeri Sembilan menerusi jaringan padang pada minit ke-30 sekali gus memastikan pasukan itu berada di kedudukan selesa menuju waktu rehat.
Bersambung selepas itu, Vandana Katariya menambah derita Territory Stingers apabila meledak gol keempat pada minit ke-33.
Fatin Shafika kemudian menjadikan kedudukan 5-0 hanya dua minit selepas itu untuk meletakkan trofi hampir pasti menjadi milik Negeri Sembilan.
Territory Stingers yang cuba bangkit pada suku masa terakhir akhirnya berjaya memperoleh dua gol menerusi Penny Squibb pada minit ke-51 dan Samantha Pangquee empat minit kemudian.
Bagaimanapun, kelebihan besar dimiliki Negeri Sembilan membolehkan mereka mengawal permainan dengan tenang sehingga tamat aksi.
Untuk rekod, Territory Stingers menamatkan saingan Liga Hoki Malaysia di tempat ketiga, manakala Malaysian University-UNITEN (MU) melengkapkan podium di tempat kedua.




