LATEST

140,000 alumni KPTM, UPTM bantu buka pintu kerja pelajar

140,000 alumni KPTM, UPTM bantu buka pintu kerja pelajar

Kuala Lumpur : Jaringan lebih 140,000 alumni Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada pelajar melalui hubungan bekas graduan dengan pelbagai syarikat serta industri.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Poly-Tech MARA Sdn Bhd (KPTMSB), Radzuan Razali, bekas graduan yang sudah berjaya boleh membantu pelajar mendapatkan tempat bekerja menerusi rangkaian profesional mereka.

Baca juga: UniSZA bersedia menerajui penubuhan Darul Hadis pertama negara

Katanya, kekuatan alumni bukan hanya terletak pada jumlah yang ramai, tetapi juga pengalaman, kepakaran serta kedudukan mereka dalam dunia pekerjaan yang boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua institusi.

“Kita mahu mendapatkan sumbangan kembali daripada alumni yang sudah berjaya bagi membantu pelajar sekarang, khususnya dari segi peluang pekerjaan melalui rangkaian syarikat mereka serta sumbangan pendanaan untuk institusi dan pelajar,” katanya pada Majlis Hi-Tea Legasi Gemilang GenMARA KPTM dan UPTM 2026 di Hotel Premiera, di sini, semalam.

Majlis itu berjaya menghimpunkan kira-kira 600 alumni pelbagai generasi.

Kata Radzuan lagi, jaringan alumni yang terjalin sejak 1983 juga penting untuk membantu KPTM dan UPTM memperoleh maklum balas terus daripada pihak industri.

Jelasnya, pandangan bekas pelajar yang sudah bekerja membantu memastikan kursus yang ditawarkan sesuai dengan keperluan majikan semasa.

“Kerjasama dengan industri amat penting dan alumni sendiri boleh menjadi penghubung untuk mendapatkan maklum balas mengenai keperluan sebenar pasaran pekerjaan,” katanya.

Setakat ini, KPTM dan UPTM mempunyai 36,000 pelajar dalam 56 program pengajian dari peringkat asasi hingga Ijazah Doktor Falsafah (PhD), dengan 44 program baharu dirancang diperkenalkan menjelang 2030.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Shahrizal Mohd Saderi, berkata kejayaan sesebuah institusi pendidikan tidak hanya diukur pada keputusan akademik di kampus, tetapi juga kejayaan graduan membina kerjaya selepas tamat belajar.

“Kemenjadian graduan atau alumni merupakan penanda aras sebenar kepada kejayaan sesebuah institusi pendidikan,” katanya.

Tambahnya, alumni boleh berkongsi pengalaman dan kepakaran menerusi bimbingan kerjaya, peluang latihan industri serta bantuan menaik taraf kemudahan kampus, sambil memaklumkan kadar kebolehpasaran graduan KPTM dan UPTM kini mencapai 95 peratus.

Pada majlis perhimpunan alumni berpusat pertama sejak 1983 itu, tujuh bekas pelajar turut menerima Anugerah Ikon Alumni, iaitu Ts. Muhamad Arief Zainal Khatib (Ketua Pengurusan Aset Petronas Dagangan Berhad); Mat Isa Mohd Junus (Pengarah Urusan Roti Kaya Junus); Faris Azim Abd Karim (Pengasas dan Pengarah Artistik Zeppo Youngsterz); Muhammad Amin Syarifuddin Aziz (Pengasas dan Pengarah MM Apparel); Nor Sarini Mohd Nor (Pengasas dan Pengarah Aira Medicare Home Nursing); Muhammad Shamim Shafiee (Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Armiena Group Sdn Bhd) serta Mohd Firdaus Jamaluddin (Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MFJ Capital Sdn. Bhd. / White N Black Group).

Acara berkenaan diserikan dengan reruai produk usahawan alumni, Hall of Fame Alumni digital, Alumni Legacy Walk, tayangan video alumni luar negara dan persembahan khas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news