LATEST

Sasterawan Negeri Perlis 2026, Abd Rahim Abdullah meninggal dunia

Sasterawan Negeri Perlis 2026, Abd Rahim Abdullah meninggal dunia

am@hmetro.com.my

Baca juga: Hujan lebat empat jam cetus banjir, satu PPS dibuka di Kulim

Kangar: Sasterawan Negeri Perlis 2026 yang juga bekas Pengarang Sastera dan Budaya Berita Harian (BH), Abd Rahim Abdullah meninggal dunia akibat sakit tua, hari ini.

Allahyarham yang berusia 78 tahun menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kota Warisan, Sepang, Selangor, jam 4 petang tadi.

Berita pemergian tokoh sastera berkenaan disahkan oleh anaknya, Ezlin Ilyana Abd Rahim, 49, ketika dihubungi.

Jenazah Allahyarham dibawa ke surau berhampiran jam 7.30 malam untuk disembahyangkan selepas solat Isyak sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Jannah, Masjid Sultan Hishamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi (BBST), Sepang.

Pada 12 November lalu, sumbangan enam dekad anak kelahiran Kampung Bohor Inai, di sini dalam dunia penulisan diiktiraf apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Perlis 2026.

Penganugerahan anjuran Kerajaan Negeri Perlis dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu mengiktiraf ketokohan Allahyarham yang mula berkarya sejak 1964.

Sepanjang hayatnya, Abd Rahim yang pernah berkhidmat di BH antara Februari 1994 hingga April 1998 menghasilkan deretan karya unggul pelbagai genre yang turut memenangi pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan dan serantau.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news