Isu pengecualian cecair nikotin: KKM, AGC akan adakan perbincangan, perhalusi aspek perundangan

Isu pengecualian cecair nikotin: KKM, AGC akan adakan perbincangan, perhalusi aspek perundangan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat bagi memperhalusi segala aspek perundangan dan meneliti ruang tindakan seterusnya berhubung keputusan mahkamah mengenai isu cecair serta gel nikotin.

Langkah berkenaan diambil susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini berhubung kes semakan kehakiman berkaitan aspek prosedural dalam perintah pengecualian bahan itu daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952.

KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil maklum dan menghormati keputusan mahkamah tersebut, selain menyifatkannya sebagai satu refleksi kepada sistem semak dan imbang yang sihat di negara ini.

“Keputusan mahkamah ini membuktikan bahawa rakyat, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan amat prihatin terhadap polisi perlindungan kesihatan awam.

“KKM menegaskan bahawa pihak kementerian dan NGO sebenarnya berkongsi satu matlamat akhir yang sama, iaitu demi melindungi keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, konsolidasi bersama AGC juga bertujuan untuk menetapkan langkah susulan yang sewajarnya demi memastikan kelangsungan agenda kesihatan negara.

“KKM kekal komited untuk terus memperkukuh agenda kawalan tembakau dan produk merokok melalui pemantauan berterusan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

“Langkah itu penting bagi memastikan kesihatan masyarakat terus terpelihara, khususnya bagi melindungi golongan kanak-kanak dan generasi muda daripada terjebak dengan budaya merokok,” katanya.

Katanya, sebarang perkembangan serta tindakan lanjut mengenai perkara terbabit akan dimaklumkan secara rasmi selepas proses konsultasi bersama pihak AGC dimuktamadkan sepenuhnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top